Pencemaran Sungai Punggur Paya Redan: MPJ keluarkan notis kepada penternak lembu
AYER KEROH 26 Nov. – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mengeluarkan notis 30 hari kepada penternak lembu di Sungai Punggur Paya Redan berikutan pencemaran sungai yang berlaku, baru-baru ini.
Yang Dipertuanya, Datin Sapiah Haron berkata, notis itu keluarkan agar penternak haiwan terbabit menghantar permohonan permit bangunan sementara yang dibina di kawasan itu.
“Selepas mengenalpasti dan adakan lawatan, terdapat empat penternak lembu yang berbeza di kawasan ini.
“MPJ memberi notis 30 hari supaya penternak ini dapat mohon permit bangunan sementara kerana tiada sebarang permit yang diperolehi mereka,” katanya ketika dihubungi MHI.
Jelasnya, pelepasan air serta sisa kumbahan secara terus ke sungai tersebut menjadikan kawasan itu menimbulkan bau busuk dan tidak menyenangkan.
“Sisa-sisa kumbahan terus dilepaskan ke sungai tiada kolam takungan atau kolam endapan, kalau penduduk lalu akan ada bau busuk.
“Ikutkan ternakan di sini dah lebih 10 tahun, kawasan ini belah dalam jadi orang tidak perasan sangat, bila dah jadi macam ni kita kena semak semula apa masalah tersebut,” katanya.
Sebelum ini Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali mengadakan lawatan di Sungai Punggur rentetan isu pencemaran itu yang didakwa berpunca daripada pelepasan sisa kumbahan dari ladang ternakan lembu milik persendirian selain ternakan ayam di sebuah kilang berhampiran.
Lawatan itu disertai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman serta jabatan-jabatan yang terlibat.