Pencemaran Sungai Lereh: SWCorp tunggu keputusan lengkap JAS
AYER KEROH 21 Februari- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka, tidak menafikan ada berlakunya pelepasan air dari tapak pelupusan sampah di Sungai Udang, di sini, ke sungai berdekatan.
Pengarah SWCorp negeri, Khairul Adha Mutalib berkata namun pelepasan air yang dibuat itu mengikut piawaian dan standard yang sudah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Ini bukan kali pertama, tapak pelupusan sampah dikaitkan, di situ kita mempunyai sistem merawat air licik sebelum dilepaskan ke sungai berhampiran jadi semua air yang keluar ke sungai berdekatan mengikut apa yang ditetapkan oleh JAS.
“Malah kita turut memantau setiap aliran air yang dilepaskan kemana ianya pergi, malah kita turut ada menghantar laporan air terawat kepada JAS. Selain itu juga, sebelum ini pihak Kerajaan Negeri turut mengadakan lawatan ke tempat pelupusan sampah dan melihat aliran air keluar,” katanya.
Menurut Khairul Adha, susulan isu pencemaran terbaru yang berlaku sehingga menyebabkan air Sungai Lereh bertukar warna, pihaknya kini sedang menunggu laporan lengkap daripada JAS.
“Siasatan awal pencemaran dikaitkan dengan aktiviti penternakan namun kita masih menunggu laporan lengkap dan daripada situ nanti kita akan peroleh analisa.
“Malah JAS sendiri sebelum ini kerap melakukan pemantauan keatas air yang dilepaskan keluar dari tapak pelupusan sampah. Di kawasan Sungai Udang, kita projek yang paling besar jadi mungkin disebabkan itu ramai yang kaitkan dengan kami,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, pencemaran Sungai Lereh yang berlaku adalah dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa kumbahan aktiviti penternakan lembu dan kambing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelebang Datuk Lim Ban Hong berkata ia hasil siasatan awal Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka yang mengambil sampel air sungai berkenaan selepas menerima aduan daripada penduduk setempat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.