Pencemaran bau di Tanjung Kling selesai
PANTAI KUNDOR 2 April – Pencemaran bau daripada longgokan hampas kelapa sawit yang ditempatkan di lokasi sementara di Tanjung Kling selesai selepas bahan keluaran pertanian itu mula dieksport ke Nagoya, Jepun esok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @ Hashim berkata penghantaran bahan eksport itu sepatutnya dilaksanakan pada 31 April namun proses itu dipercepatkan bagi meredakan kebimbangan penduduk memandangkan perayaan Hari Raya Aidilfitri bakal disambut tidak lama lagi.
“Sebuah kapal kargo didatangkan daripada Jepun untuk memunggah hampas kelapa sawit seberat 10,000 tan dan akan berlayar dari Tanjung Beruas Port menghala ke Jepun, (dan) ini pertama kali penghantaran secara besar-besaran dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Sempena Penghantaran Eksport Pertama ‘Certified Palm Kernel Shell’ di Tanjung Beruas Port di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Tuminah yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata berdasarkan laporan yang diterima, pencemaran bau itu berlaku berikutan kawasan yang menempatkan hampas kelapa sawit itu tidak berbumbung dan hanya ditutup dengan kain kanvas.
Jelasnya, selain faktor cuaca yang kerap hujan sebelum ini mengakibatkan kawasan sekitar dicemari dengan bau masam serta terdapat juga jadual perjalanan keluar masuk lori yang membawa hampas kelapa sawit itu yang tidak tersusun mengakibatkan penduduk rasa kurang selesa.
“Penempatan hampas kelapa sawit di Tanjung Kling adalah penempatan sementara sebelum dihantar ke kapal.
“Oleh kerana keadaan persekitaran yang tidak sesuai, jadi kawasan itu ditutup sepenuhnya dan sebuah gudang dijangka dibangunkan oleh MCORP barulah operasi (penyimpanan sementara hampas kelapa) diteruskan selepas mematuhi syarat-syarat ditetapkan,” katanya.
Pada 25 Mac lalu, media melaporkan lebih 400 penduduk dihantui dengan bau busuk dan masam yang dipercayai berpunca daripada pencemaran kelapa sawit di pusat penyimpanan sementara di Kampung Balik Bukit, Tanjung Kling.
Akibat pencemaran hampas yang berterbangan di perkampungan itu sejak empat bulan lalu, penduduk sering mengalami batuk, selesema dan gatal di badan.
Selain masalah kesihatan, penduduk turut berdepan dengan persekitaran rumah yang kotor akibat kehadiran habuk hampas berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.