Sorting by

×

Pencarian ‘harta karun’ Pulau Nangka tamat hujung bulan ini

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDAR HILIR 7 Oktober – Harta karun yang didakwa milik Sultan Mahmud Syah di Pulau Nangka, masih dalam operasi pencarian oleh syarikat dilantik dan dijangka tamat pada hujung bulan ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Akramuddin Ab Aziz berkata, operasi itu masih dijalankan dan pihaknya sehingga kini masih belum mendapat pengesahan daripada hasil pencarian harta karun itu.

Katanya, sekiranya benar terdapat ‘peninggalan’ itu, ia dijangka akan dibawa ke Perzim, sebelum diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

“Insya-Allah sekiranya ada rezeki akan menjadi kenyataan tetapi saya minta tidak diletakkan harapan sepenuhnya kerana kita sendiri tidak tahu sama ada benda (harta karun) itu betul atau tidak.

“Sekarang ini kita bagi tempoh kepada syarikat yang berkenaan sehingga 30 Oktober ini. Mengikut analisa yang dilakukan memang ada barang (harta karun) di Pulang Nangka malah difahamkan ia dalam bentuk jongkong dan dimaklumkan ‘black gold’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Kolaborasi Strategik Antara Perzim Dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang turut dihadiri Pengurus Besar Perzim Dr Mohd Nasruddin Rahman dan Pengarah Program Seni Bina, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia Profesor Madya Dr Alice Sabrina Ismail, hari ini.

Menurut Akramuddin, apa yang dihebohkan sebelum ini mengatakan terdapat syiling emas di Pulau Nangka adalah tidak benar berdasarkan analisa yang dijalankan.

“Dikatakan barang-barang di situ dalam bentuk jongkong bukannya syiling dan sebagainya selain perjumpaan syiling itu sebenarnya tiada,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nasruddin berkata, beberapa kaedah kajian digunakan dalam misi pencarian harta karun itu dan tidak hanya tertumpu secara saintifik sahaja.

“Kita gunakan beberapa kaedah kajian termasuk secara saintifik dan metafizik, kita gunakan dua-dua cara ini untuk lihat keberadaan harta karun ini.

“Harta itu difahamkan dalam bentuk jongkong itu yang digambarkan kepada kita dan sekiranya berjaya dibawa keluar ia akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3361
Kongsi :
Previous post Mangsa bencana Tanjung Bidara dapat perhatian MAIWP
Next post Bajet 2023: Lebih RM1 bilion diperuntuk kepada warga emas, Orang Asli
Ubah saiz-+=