Penantian 14 tahun berakhir, 642 peserta RTK terima geran hak milik
PEKAN 2 April – Seramai 642 peserta Rancangan Tanah Kelompok (RTK) di tiga kawasan di daerah Pekan kini boleh menarik nafas lega apabila menerima geran hak milik RTK, selepas 14 tahun menunggu.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek RTK yang terlibat ialah di Kampung Serambi, Padang Rumbia dan Pulau Rumput di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar.
“Untuk hari ini kami sampaikan kepada 470 orang dahulu dan selebihnya akan diserahkan pada 10 April nanti dan inisiatif ini antara usaha kerajaan negeri membantu mereka bangunkan tanah-tanah berkenaan.
“Empat belas tahun satu jangka yang panjang, saya yakin ada ruang yang boleh diperbaiki dengan kami akan melihat faktor-faktor yang menyumbang kepada kelewatan pemberian geran,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan geran RTK di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Bebar (ADUN) Datuk Mohammad Fakharuddin Mohd Ariff.
Lebih istimewa, menurut Wan Rosdy setiap peserta bakal menerima ‘durian runtuh’ sebanyak RM500 sebagai bantuan menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
“Kami amat prihatin dengan situasi rakyat sekarang dan saya harap bantuan ini dapat meringankan beban mereka,” katanya.
Bagi Zainal Abidin Ibrahim, 76, penantiannya selama 14 tahun akhirnya berakhir apabila menerima geran berkenaan bagi memajukan tanah seluas 1.6 hektar.
“Saya telah lama membuat permohonan dan hari ini geran berkenaan telah saya peroleh. Terima kasih banyak kepada kerajaan negeri kerana prihatin dengan nasib kami,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad Wilayah Pahang Nor Zahari Zakaria berkata, setakat ini seluas 53.530 hektar tanah di seluruh Pahang telah dimajukan melibatkan seramai 23,174 peserta.
Bagi jumlah dividen pula, lebih RM105 juta telah diagihkan dalam tempoh tiga tahun bermula 2018, katanya.