Penambahbaikkan sempena Bila Larut Malam
BANDARAYA MELAKA 14 Julai – Beberapa penambahbaikkan dilakukan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) bagi memastikan operasi bersempena Program Bila Larut Malam berjalan lancar.
Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan dan Kewangan yang menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Khairunnisa Ibno Masooda berkata, selepas penganjuran pertama pada bulan lalu, pihaknya mendapati beberapa perkara perlu ditambah baik dalam memberi keselesaan kepada pengunjung Melaka River Cruise (MRC).
“Penambahbaikkan yang kita buat adalah membuka kaunter penjualan tiket lebih awal di Dataran Pengkalan Rama, sebelum ini pengunjung hanya boleh membeli tiket pada jam 11 malam.
“Selain itu jumlah kakitangan jug lebih ramai bagi menyambut kehadiran pengunjung supaya lebih teratur daripada segi sistem kemasukan penumpang ke dalam bot,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, operasi terkahir bot MRC adalah pada jam 2 pagi namun ia bergantung kepada kehadiran pengunjung.
“Sekiranya ada pengunjung yang datang pada saat akhir dan ingin menaiki MRC, kami tetap melayan mereka, kesemua bot akan balik ke jeti pada jam 2.30 pagi.
“Daripada jumlah kedatangan pengunjung yang menaiki MRC bersempena Bila Larut Malam kita dapati ia amat mendapat sambutan dan angka itu, sekali gus akan membantu Melaka mencapai jumlah sasaran pengunjung yang ditetapkan bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya.
Terdahulu, seorang pengunjung warga emas yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 70 tidak menyangka akan diraikan oleh kakitangan PPSPM selain turut dihadiahkan cenderahati.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.