Sorting by

×

PENAMBAHBAIKAN INFRASTRUKTUR JADI KEUTAMAAN W.R.U.R PENGKALAN BATU

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

PENGKALAN BATU 6 Februari – Pembinaan dan penambahbaikan infrastruktur antara keutamaan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu pada 10 hingga 23 Februari ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata antara fokus yang diberikan adalah pembinaan Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka ( JAIM); infrastruktur jalan raya dalam kawasan kampung dan menyelesaikan masalah banjir di Kampung Pengkalan Batu.

Katanya, kesemua isu tersebut akan diusahakan untuk diselesaikan dan disiapkan pada tahun ini juga selepas mengadakan lawatan dan tinjauan di lokasi bersama jabatan dan agensi terlibat.

“Fokus pertama adalah membabitkan pembinaan SRA JAIM Kampung Bachang Darat yang akan memulakan pembinaan dalam masa terdekat dengan nilai kos dianggarkan bernilai RM6 juta.

“Kedua adalah membabitkan isu banjir berulang di Kampung Pengkalan Batu di mana jika hujan lebat air dari jalan raya mengalir masuk ke kolam tadahan banjir di Taman Putra Height dan melimpah masuk ke Kampung Pengkalan Batu.

“Manakala, fokus terakhir adalah permasalahan jalan raya di Lorong Haji Jalil, di mana jalan kecil tersebut telah menjadi laluan utama kenderaan sehingga mencetuskan ketidakselesaan kepada warga kampung tersebut,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas lawatan tersebut.

Lawatan itu turut disertai Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Hameed berkata beliau mengambil maklum setiap laporan dan aduan yang diterima dan isu terbabit akan diselesaikan segera.

“Antara penyelesaian banjir berulang di Kampung Pengkalan Batu, pihak JKR akan membina sebuah longkang besar terus ke sungai atau parit berhampiran untuk mengalihkan air yang mengalir daripada masuk ke kolam tadahan banjir seterusnya menyelesaikan isu banjir di kampung terbabit.

“Manakala berkaitan jalan kampung yang kini menjadi laluan utama kenderaan, pihak JKR akan membina bonggol dan meletakkan papan tanda sebagai langkah waspada dan berjaga-jaga dan jika dipersetujui daripada perbincangan lanjut, jalan berkenaan mungkin akan diubah kepada jalan sehala,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

65
Kongsi :
Previous post MCORP JUNJUNG INTEGRITI, TOLAK SALAH GUNA KUASA
Next post PEKERJA ASING HUNI PANGSAPURI DI AYER KEROH DIPINDAHKAN SECARA BERPERINGKAT