Sorting by

×

PENAHANAN PEMIMPIN KANAN PARTI POLITIK TIADA KAITAN DENGAN AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 16 April – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang juga pemimpin kanan sebuah parti politik di negeri ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Pejabat Ketua Menteri menerusi satu kenyataan menegaskan Ab  Rauf tidak mempunyai sebarang kaitan sama ada secara langsung atau tidak langsung berhubung siasatan sedang dijalankan SPRM terhadap individu berkenaan.

Malah, sebarang dakwaan mengaitkan Ketua Menteri dengan penahanan tersebut adalah tidak berasas, bersifat spekulatif dan boleh mengelirukan rakyat.

“Tuduhan seperti ini bukan sahaja menjejaskan reputasi kepimpinan negeri, malah dilihat sebagai cubaan untuk mengganggu fokus pentadbiran negeri dalam melaksanakan agenda pembangunan untuk rakyat.

“Ketua Menteri dan seluruh pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka sentiasa menghormati prinsip kebebasan institusi penguatkuasaan dan memberi kepercayaan penuh kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara telus dan profesional, tanpa campur tangan mana-mana pihak,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan sama, semua pihak diminta agar lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan dan menyebarkan maklumat.

Selain itu, orang ramai juga diminta peka bahawa penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial adalah satu kesalahan mengikut undang-undang dan tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap pihak
yang terlibat.

Kerajaan Negeri Melaka akan terus memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh tadbir urus negeri yang berteraskan integriti, kecekapan dan ketelusan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.

Sebelum ini media melaporkan ahli perniagaan berusia 61 tahun itu ditahan SPRM atas dakwaan meminta suapan berhubung kontrak kerja penambakan laut antara 2021 hingga 2023.

Majistret Sharda Sheinha Mohamed Sulaiman membenarkan perintah reman terhadap ahli perniagaan berkenaan selama enam hari hingga Ahad ini.

Sementara itu Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie mengesahkan penahanan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4216
Kongsi :
Previous post BEKAS ANGGOTA IMIGRESEN DITAHAN BANTU SIASATAN KES RASUAH LEBIH RM10 JUTA
Next post WAKIL SEKOLAH, IPT DIPELAWA UNTUK MERIAHKAN PIDATO RUKUN NEGARA PIALA TYT MELAKA