Sorting by

×

Pemutihan papan iklan haram di Melaka sedang dijalankan

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PANTAI KUNDOR 24 Julai – Kerajaan Negeri menerusi empat pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri sedang menjalankan proses pemutihan bagi membanteras pemasangan papan iklan haram di negeri ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin memaklumkan, buat masa ini kesemua PBT telah diarah mengambil tindakan dengan menghantar notis kepada syarikat terlibat dengan pemasangan papan iklan tanpa kebenaran itu.

Kata beliau, sekiranya masih tiada tindakan daripada pihak berkenaan, papan iklan berkenaan akan dirobohkan.

“Kita tidak pernah sambil lewa terhadap isu ini kerana proses pemutihan sentiasa dijalankan oleh PBT terlibat. Notis telah dikeluarkan, namun, pihak yang berkaitan lambat ambil tindakan, malah ada yang ambil mudah.

“Sebagai Exco terlibat, saya tidak mahu menuding jari menyalahkan sesiapa atau menuduh pihak terdahulu berkaitan papan iklan haram ini kerana fokus saya ketika ini adalah menguruskan masalah ini dengan lebih baik dan efisien.

“Pada masa sama, saya mengalu-alukan orang awam untuk menyalurkan maklumat kepada PBT berkenaan papan iklan yang telah usang dan sebagainya supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan ziarah kasih dan menyampaikan sumbangan ke atas mangsa kemalangan jalan raya di Kampung Pengkalan Perigi, di sini, semalam.

Mengulas mengenai tindakan pihak pembangkang yang mahu melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu integriti papan iklan tersebut, Rais berkata ia adalah hak masing-masing.

“Bila berlaku sesuatu isu, pastinya sebagai manusia ada yang akan mempolemikkannya sebagai isu politik. Itu hak masing-masing untuk melaporkannya.

“Tetapi di pihak saya dan Kerajaan Negeri, perkara paling penting adalah aspek keselamatan pengguna di mana kita perlu menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1541
Kongsi :
Previous post MATTA Fair Melaka, rancakkan TMM2024
Next post Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Melaka sasar 4,000 peserta
Ubah saiz-+=