Sorting by

×

Pemuda PH akur dengan pencalonan Idris, Nor Azman

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

MELAKA 7 Nov – Pemuda Pakatan Harapan (PH) akur dengan keputusan pimpinan tertinggi gabungan itu untuk mencalonkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di bawah tiket PH.

Ketua Pemuda PH Howard Lee Chuan How bagaimanapun mengakui ada dalam kalangan ahli PH tidak bersetuju dengan keputusan itu, dengan asas yang kukuh dan kuat.

“Saya tak nak menyatakan pendirian peribadi saya, sebab ini (platform) bukan tempat dia tetapi amat jelas ada yang tidak setuju dalam Pakatan Harapan, dan memang asasnya kukuh dan kuat.

“Akan tetapi apabila keputusan telah dibuat secara berjemaah, itulah keputusan yang perlu diakur dan bagi saya yang penting adalah rakyat Melaka akan tentukan sama ada itu adalah keputusan yang tepat, dan kita tidak mendahului dan tidak mahu dan tidak akan mendahului keputusan rakyat negeri Melaka,” katanya pada satu sidang media, di sini hari ini.

HOWARD Lee (tiga dari kiri duduk hadapan) pada satu sidang media, di sini hari ini

Semalam, dilaporkan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membuat pengumuman itu berkata Idris akan bertanding di kerusi Asahan iaitu kerusi tradisi PKR, manakala Nor Azman kekal di Pantai Kundor, kerusi tradisi Parti Amanah.

Lee berkata beliau sendiri merasakan terdapat perbualan serta naratif negatif yang akan timbul kesan daripada keputusan tersebut, namun menganggap perkara itu sebagai lumrah dan fitrah dalam pilihan raya.

“Bagi saya yang penting sekarang adalah kita sampaikan apa yang Pakatan Harapan tawarkan dan bakal bawa sebagai agenda pentadbiran Pakatan Harapan negeri Melaka (sekiranya menang) nanti,” katanya.

Terdahulu, Lee berkata Pemuda PH sangat mengalu-alukan dan menyambut baik keputusan Majlis Presiden PH mencalonkan ramai individu daripada sayap pemuda parti gabungan itu untuk PRN Melaka, dengan lebih 35 peratus atau 10 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal ditandingi.

Antara calon berkenaan ialah Muhamad Danish Zainudin, 25, yang bakal bertanding di kerusi Pengkalan Batu, manakala Leng Chau Yen, 37, (Bandar Hilir); Mohamad Asri Ibrahim, 35, (Lendu); Law Bing Haw, 40, (Machap Jaya); B. Prasanth Kumar, 27, (Rim); dan Farzana Hayani Mohd Nasir, 21, (Sungai Rambai).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov, manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

548
Kongsi :
Previous post Ketua Wanita UMNO cabar bekas ketua
Next post Kerajaan tidak lagi bekerja sebagai satu pasukan tetapi sebagai sebuah keluarga
Ubah saiz-+=