Pemuda pecut kereta di SJR, rupanya panik lesen memandu tamat tempoh
SEPANG 14 Jun – Akibat panik kerana lesen memandu telah tamat tempoh, seorang pemuda bertindak melarikan diri ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di KM47.8 Lebuhraya Damansara-Puchong dari arah Puchong Cyberjaya ke Dengkil, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, lelaki berusia 21 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Lexus berwarna hitam, tidak memberhentikan kenderaan apabila diarahkan oleh polis sebaliknya memecut laju dan hampir melanggar anggota bertugas di SJR tersebut.
Perbuatan lelaki berkenaan yang tidak memberhentikan kenderaan ketika melalui SJR itu, telah dirakam oleh pengguna jalan raya dan video berdurasi 30 saat memaparkan kejadian itu telah tersebar di laman sosial.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Kamarul Azran Wan Yusof berkata, susulan tersebarnya video kejadian itu, seorang lelaki berusia 31 tahun yang merupakan pemilik kenderaan terbabit, telah hadir ke Balai Polis Trafik Sepang pada jam 6.30 petang semalam bagi membantu siasatan dan memaklumkan ketika kejadian, kereta tersebut dipandu adiknya yang berusia 21 tahun.
“Takut dimarahi abangnya kerana memandu kenderaan dengan lesen tamat tempoh punca tidak berhenti semasa pemeriksaan. Lesen memandu lelaki berkenaan tamat pada 9 Jan lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Kamarul Azran berkata, pemandu kenderaan ketika kejadian telah hadir ke Balai Trafik Sepang pada jam 8 malam hari sama, dan ujian saringan air kencing terhadapnya adalah negatif.
Beliau berkata satu saman telah dikeluarkan atas kesalahan memandu kenderaan dengan lesen tamat tempoh dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Sejak Sabtu, video berdurasi 30 saat memaparkan tindakan pemandu Toyota Lexus tidak memberhentikan ketika melalui SJR tular di laman sosial dan ia mendapat reaksi daripada warganet.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.