Pemuda patah kaki dirempuh babi hutan ‘mandi laut’
PANTAI KUNDOR 17 Mei – Seorang pemuda patah kaki selepas motosikal dinaikinya dirempuh babi hutan dalam kejadian di Pantai Puteri, baru-baru ini.
Menerusi rakaman video tular, babi berkenaan dilihat berenang dari laut sebelum naik ke darat dan meluru ke jalan raya menyebabkannya merempuh sebuah motosikal yang kebetulan lalu di kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hasim berkata, babi berkenaan bukanlah datang dari tengah laut seperti didakwa segelintir pihak.
Berdasarkan maklumat, katanya, babi hutan itu dipercayai datang dari kawasan semak di sekitar Pantai Rombang sebelum menuju ke laut dan selepas itu naik semula ke darat pada ketika pantai berkenaan dipenuhi pengunjung.
“Mungkin juga disebabkan cuaca panas menyebabkan babi ke laut dan apabila melihat ramai orang, ia mula panik dan meluru ke darat.
“Ia menyebabkan seorang pemuda di Kampung Tanah Merah Jaya patah kaki apabila dirempuh babi berkenaan ketika kebetulan lalu di kawasan itu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Tuminah yang mesra dengan panggilan Kak Ina berkata, pihaknya bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) Melaka akan terus melipatgandakan usaha membasmi masalah babi hutan di sekitar Pantai Kundor.
“Sebenarnya, melalui operasi berterusan yang dijalankan bersama PERHILITAN, masalah babi hutan di Pantai Kundor kian berkurangan berdasarkan semakin kurang aduan yang kita terima.
“Cumanya, masalah itu masih belum selesai dan saya telah meminta PERHILITAN untuk terus menjalankan operasi tembak mahupun memasang perangkap dengan lebih kerap bagi membendung masalah babi hutan yang membelenggu penduduk di kawasan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.