Pemuda dikhuatiri lemas, dua rakan selamat bot terbalik
MACHANG, 25 Jan – Seorang pemuda dikhuatiri lemas apabila bot dinaiki bersama dua rakannya terbalik di Sungai Kelantan berdekatan Pangkalan Pasir Haji Pa, Paloh Rawa, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Machang Supt Mohd Adli Mat Daud berkata kejadian berlaku pada 8.45 malam ketika mangsa, Hisyamuddin Zulkifli, 23, bersama dua rakannnya berusia 39 dan 23 tahun memasang pukat di kawasan sungai tersebut.
“Ketika dalam perjalanan pulang ke Pangkalan Pasir Haji Pa, bot dinaiki mangsa telah terbalik apabila terlanggar tali sauh feri pasir.
“Dua rakan mangsa berjaya berpaut pada tali sauh feri pasir manakala mangsa cuba berenang ke tebing sungai. Selepas dua rakan mangsa berenang dan tiba di tebing sungai, mereka tidak nampak kelibat mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Adli berkata dua rakan Hisyamuddin telah naik ke darat dan mengambil sebuah bot lain sebelum turun semula ke sungai itu namun gagal menjumpai mangsa.
“Mereka (rakan mangsa) telah meminta bantuan orang kampung untuk menghubungi pihak polis dan bomba.
“Seramai 12 anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tiba di lokasi kejadian bagi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa,” katanya.
Beliau berkata disebabkan arus sungai yang deras dan keadaan gelap, operasi SAR dimulakan 8 pagi tadi oleh Unit Selam JBPM dan pasukan mencari dipermukaan air melibatkan polis, APM, JBPM serta penduduk setempat sejauh dua kilometer dari lokasi kejadian.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.