Pemindahan operasi TNB ke MITC rancak pertumbuhan ekonomi Ayer Keroh
AYER KEROH MEI 31 – Operasi Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dipindahkan dari Banda Kaba, Banda Hilir ke Menara TNB Melaka, MITC di sini, bakal merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di sekitarnya.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, operasi menara itu akan meningkatkan aktiviti komersial dan ekonomi yang akan memberi faedah kepada rakyat Melaka khusus penduduk setempat.
Menurutnya, umum mengetahui bahawa MITC, Ayer Keroh adalah sebagai cawangan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka yang juga merupakan salah satu tumpuan utama penduduk Melaka padahari ini.
“MITC juga memainkan peranan penting dalam menjana pembangunan perdagangan komersil dan menyumbang kepada pencapaian kemajuan negeri.
“Kerajaan negeri mempunyai matlamat untuk menaik taraf tahap ekonomi negeri daripada berpendapatan sederhana kepada berpendapatan tinggi dalam memastikan pertumbuhan yang mampan dan inklusif.
“Justeru, Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pelbagai pelaksanaan inisiatif oleh TNB di Melaka bagi mendukung matlamat tersebut,” katanya.
Beliau berkata, demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Menara TNB di sini, hari ini yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama pada majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dan Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Ariffin.
Turut hadir EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan Dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selain EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Sulaiman berkata, rakyat dan kerajaan Melaka memperoleh pelbagai faedah hasil kerjasama dijalin bersama syarikat penyedia tenaga utama negara itu sejak sekian lama dan masih berterusan ke hari ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.