Pemimpin utama parti politik di Sarawak serah borang pencalonan
KUCHING, 6 Dis -Pemimpin utama parti politik yang berhasrat bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 telah menyerahkan borang pencalonan masing-masing semasa tempoh penamaan calon menghampiri penghujungnya menjelang 10 pagi tadi.
Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang menjadi penyandang di Satok sejak 1981 sebelum memutuskan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong kali ini, menyerahkan borang pencalonannya di Dewan Masyarakat Gedong.
Dua timbalannya iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pula menyerahkan borang pencalonan masing-masing untuk bertanding di kerusi DUN Bukit Saban dan Bukit Sari.
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menyerahkan borang pencalonannya untuk bertanding di kerusi DUN Batu Kawah di bangunan Majlis Perbandaran Padawan di Bazaar Batu 10 manakala Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing berbuat demikian di Perpustakaan Awam Sibu Jaya untuk bertanding di kerusi Dudong.
SUPP dan PDP adalah parti komponen GPS.
Pemimpin lain ialah Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen menyerahkan borang pencalonannya di auditorium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bagi kerusi Padungan manakala Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri Wong Soon Koh menyerahkan borangnya untuk bertanding di kerusi Bawang Assan di Dewan Suarah Sibu. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.