PEMIMPIN SEKTOR AWAM TIDAK BOLEH LAGI MENGELAK MEDIA, ORANG RAMAI

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 20 September – Penjawat awam di negeri ini tidak boleh lagi mengamal pendekatan perancangan secara ‘in silo’ sebaliknya perlu berubah kepada pendekatan turun ke lapangan atau ‘on the ground’.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perubahan perlu dilakukan dalam era terbuka masa kini yang menyaksikan segala maklumat bersifat masa sebenar atau ‘real time’.

Justeru, ujar beliau, pemimpin sektor awam tidak boleh lagi mengelak daripada berhadapan dengan media atau orang ramai.

“Seorang pemimpin sektor awam yang baik adalah seorang mampu untuk berkomunikasi dengan berkesan dan mampu menimbulkan keyakinan umum terhadap dasar-dasar, prakarsa dan tindakan kerajaan.

“Seperti baru-baru ini timbulnya aduan berkaitan struktur Jambatan Melaka Sentral dan ia telah tular (viral) di platform media sosial.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pengadu dan pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di atas ‘sense of urgency’ untuk menyelesaikan masalah dan aduan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka September 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta para penjawat awam Negeri Melaka.

Pada masa sama, Ab Rauf turut mengingatkan semua jabatan dan agensi terlibat agar sentiasa melakukan pemantauan di kawasan bawah seliaan masing-masing serta bertindak segera di atas sebarang aduan yang diterima.

“Jangan sampai nasi menjadi bubur, segera bertindak terhadap sesuatu aduan yang diterima bukan menunggu sesuatu telah tular pada orang awam dan mencemar kredibiliti kerajaan negeri baru hendak bertindak,” tegasnya.

/END

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

80
Kongsi :
Previous post I-WAQAF MUDAHKAN PENJAWAT AWAM BERWAKAF
Next post CARI PENYELESAIAN BANJIR MASJID TANAH, ALOR GAJAH – KM
Ubah saiz-+=