Pemilik reda kedai fotokopi dirempuh lori
Hasli Limat, 58, berkata beliau mengetahui kejadian itu kira-kira 6.50 pagi tadi, selepas dimaklumkan isterinya yang menyedari keadaan kedai mereka yang rosak, selepas melalui jalan tersebut untuk menghantar anak ke sekolah.
Bapa kepada tujuh anak itu berkata kejadian tersebut juga, menyebabkan punca pendapatannya yang mengusahakan kedai itu sejak lebih 15 tahun lepas terjejas.
“Saya bergegas ke kedai yang jaraknya satu kilometer dari rumah dan melihat orang ramai, termasuk polis telah berada di lokasi namun atas faktor keselamatan saya tidak dibenarkan masuk ke dalam kedai untuk melihat kerosakan akibat rempuhan itu.
“Antara barangan yang terdapat dalam kedai kami ialah dua mesin fototostat, komputer, mesin cetak dan juga peralatan mengambil gambar, justeru saya berharap dapat memindahkan barangan yang masih dalam keadaan baik dengan segera,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Jasin DSP Ahmad Jamil Radzi berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira 7.28 pagi tadi, membabitkan satu lori sawit yang terbabas dan merempuh tiga premis dan sebuah motor.
Beliau berkata siasatan awal mendapati pemandu lori itu gagal mengawal kenderaannya dipercayai akibat kegagalan sistem brek ketika di persimpangan Pekan Nyalas.
“Pemandu lori berusia 35 tahun itu dalam perjalanan dari Merlimau ke Gemas, Negeri Sembilan dan telah merempuh tiga premis tersebut iaitu kedai fotokopi dan kedai makan serta sebuah motosikal jenis skuter yang menyebabkan kerosakan keseluruhan dianggarkan bernilai antara RM10,000 hingga RM15,000.
“Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan yang dialami oleh pemandu dan orang awam akibat rempuhan tersebut,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.