Pemilik premis disaran semak status risiko COVID-19 pengunjung

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR, 30 April – Pemilik premis, terutama di tempat berisiko tinggi seperti restoran disaran menyemak status risiko COVID-19 pengunjung menerusi aplikasi MySejahtera, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata tindakan itu bagi memastikan individu dengan status ‘High Risk’ (Risiko Tinggi) pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif COVID-19 dan individu yang diberi arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO), tidak dibenarkan masuk ke premis tersebut.

Menurut Khairy, jika status pengunjung didapati berisiko tinggi, tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan selain mendatangkan risiko kepada orang ramai.

“Seperti di pusat beli-belah yang mempunyai banyak pintu…tidak perlu (semak status pengunjung di setiap pintu) tetapi kita sarankan pemilik premis ataupun pasukan penguat kuasa melakukan semakan status risiko pengunjung secara rawak.

“Saya minta kepada orang ramai, apabila pemilik premis minta untuk menyemak profil mereka, bagilah kerjasama kepada pemilik premis, jangan tidak mahu tunjuk. Ini untuk keselamatan semua orang, kita dalam proses peralihan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Clinical Research Malaysia (CRM) dan Inisiatif bagi Ubat Untuk Penyakit yang Diabaikan (DNDi) di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim dan Pengarah Pejabat Asia Tenggara DNDi Jean-Michel Piedagnel.

Mengenai majlis itu, Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) berhasrat untuk meneruskan usaha dalam memantapkan persediaan terhadap wabak denggi serta menyingkirkan penyakit endemik itu menjelang 2030.

“Saya harap lebih banyak usaha dan sokongan dapat diberi kepada penyakit yang diabaikan terutama penyakit tropika seperti denggi memandangkan penyakit itu tidak mendapat tumpuan sewajarnya kerana tidak berlaku di negara kaya, tetapi di negara seperti Asia Tenggara, Afrika dan lain-lain.

“KKM berminat untuk meneruskan perkongsian sedia ada dengan DNDi yang telah menerajui teladan dalam mewujudkan rawatan Hepatitis C yang selamat, berpatutan dan berkesan, yang diperoleh melalui usaha kerjasama antara negara membangun, termasuk Malaysia,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis lain, Khairy turut menyaksikan penyerahan dan pengagihan 400 pek juadah berbuka puasa daripada Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) Datuk Zulkarnain Md Eusope kepada Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) Datin Paduka Dr Rohana Johan di HKL.

Turut hadir menerima pek juadah berkenaan ialah kakitangan Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL.

Penyerahan juadah itu sebagai penghargaan Pharmaniaga kepada kakitangan beberapa hospital awam dan ibu pejabat polis daerah di Lembah Klang menerusi Program Hero Ramadan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1461
Kongsi :
Previous post Op Pagar Laut: APMM hasilkan 32 tangkapan
Next post Aidilfitri: ‘Saudagar’ buluh mampu tersenyum lebar
Ubah saiz-+=