Pemilik, pengunjung premis hiburan dikompaun RM70,000
KUALA LUMPUR, 11 Mac – Polis mengenakan kompaun berjumlah RM70,000 kepada 68 pengunjung dan dua pemilik premis hiburan di sekitar ibu kota, tengah malam tadi.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur Datuk Azman Ayob berkata kompaun RM1,000 kepada 11 pengunjung di premis pertama dan kompaun dengan kadar yang sama kepada 57 pengunjung di premis kedua.
Selain itu, kompaun masing-masing RM1,000 dikenakan terhadap dua pemilik premis hiburan itu.
Beliau berkata hasil serbuan mendapati pusat hiburan berkenaan telah beroperasi dengan melakukan kesalahan melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) PPN 4 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) yang masih dikuatkuasakan.
“Sejak 1 Jan lepas hingga kini, JPJKK Kuala Lumpur mengeluarkan 521 kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM521,000 terhadap pemilik premis dan pengunjung pusat hiburan di sekitar ibu kota.
“Kesemua kompaun dikeluarkan mengikut Akta 342 APPPB yang dikuatkuasakan kerajaan dan orang ramai adalah dinasihat untuk terus mematuhi segala prosedur operasi standard yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan jangkitan wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata operasi seumpama itu akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam usaha membantu kerajaan mengawal penularan wabak itu.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.