Pemilik dusun durian hilang 60 peratus pelanggan luar Melaka
JASIN 5 Julai – Penghujung Mei hingga Julai yang lazimnya kemuncak musim ‘raja buah’ tidak lagi menjadi berita gembira kepada pemilik dusun di negeri ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKDP) di beberapa negeri mulai Sabtu lalu dan hari ini.
Sudah pasti ia memberi kesan kepada pemilik dusun mahupun peniaga yang menerima kedatangan pelancong luar ke negeri ini hanya untuk menikmati keenakan raja buah itu.
Pemilik Dusun Tok Wa Rozaimi Senawi, 51, berkata pelaksanaan PKPD pasti memberi kesan terhadap perniagaannya memandangkan 60 peratus pelanggan adalah dari luar Melaka.
“Dan tentu ada pengurangan dari segi jualan sebab mereka (pelanggan) dari Kuala Lumpur atau Selangor lebih suka makan di dusun.
“Pelanggan dari Kelantan, Terengganu dan Pahang pun memang selalu datang, tapi majoriti 60 peratus pelanggan dari Selangor,” katanya ketika ditemui MHI.
Katanya, bagaimanapun bagi memastikan perniagaannya terus berjalan dia mengambil inisiatif berniaga secara pembayaran tunai semasa serahan (CoD.
“Kadang-kadang saya, oleh sebab sudah ada pelanggan tetap, kami akan hantar ke rumah jika ada permintaan.
“Bila laksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memanglah terkesan tapi kita guna pendekatan yang lain.
“Ada juga buat kurier, kita ‘packing’ durian yang sudah dikopek letak dalam freezer kemudian kita pos,” katanya yang sudah 20 tahun mengusahakan dusun itu.
Rozaimi berkata, setakat hari ini pihaknya tidak mengalami kerugian yang mendadak kerana masih mempunyai permintaan dari pelanggan yang menetap di Melaka.
“Saya tidak nampak kerugian teruk cuma jualan berkurang…kira-kira dalam 30 peratus.
“Dari segi harga kalau durian kampung masih sama RM10 sekilo, durian kahwin, D24, IOI, D13, Udang Merah RM20 sekilogram.
“Yang premium sikit, Musang King RM40 sekilo, cuma tahun ni kos pembajaan naik 30 hingga 40 peratus, jadi sebulan kita perlukan dalam RM3,000 termasuk bayar gaji pekerja,” katanya sambil menambah dusun itu beroperasi dari jam 10 pagi hingga 6 petang.
Sementara itu, pemilik dusun Malacca Durian Heng, Tan Thian Yew, 23, mengalami penurunan pelanggan sehingga 50 peratus.
“Kalau PKPD di beberapa daerah di Selangor dan kawasan di Kuala Lumpur semua, sudah tentu permintaan dari sana lagi kurang.
“Di Melaka ini pun yang ‘walk in’ hanya lima peratus, kalau biasa hari Jumaat Sabtu Ahad ada ramai pelancong dari Kuala Lumpur, Johor Bharu tapi sekarang sudah kurang.
“Semua tidak boleh datang, sebab itu sekarang kita buat penghantaran tapi cuma kawasan Melaka, pelanggan luar daerah tak boleh datang harapkan orang kampung saja.
“Harga sekarang dah banyak murah, kalau dulu durian kampung sekilogram RM15 sekarang cuma RM10,” katanya.
Katanya jika dahulu dia boleh menjual satu tan durian setiap hari, kini hanya 500 kilogram sehari.
“Jika durian tidak habis jual, kita buat aiskrim, pes durian dan bekal pada pelanggan seperti di kilang-kilang.
“Sekarang harga durian bermula dari RM3, RM5, RM8, paling tinggi Musang King yang double A RM55 sekilo,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.