Pemilik ‘dera’ kucing di Ayer Molek terima ‘lawatan’ DVS Melaka
AYER MOLEK 13 Ogos – Pemilik kucing di Taman Pengkalan Jaya, Ayer Molek yang didapati ‘mendera’ kucing peliharaan dengan membiarkan haiwan itu berpanas dan berhujan di dalam sangkar telah menerima kunjungan penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Negeri Melaka.
Persatuan Haiwan Malaysia dalam satu kenyataan di Facebook berkata, bertindak daripada laporan, DVS Melaka bertindak pantas turun padang melihat keadaan tersebut dan menguatkuasakan undang-undang kepada pemilik kucing.
Selain itu, notis penambahbaikan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 juga telah diberikan kepada pemilik berkenaan.
“Tujuan notis adalah untuk memastikan pemilik memperbaiki kaedah pemeliharaan Dalam tempoh tujuh hari dan pemeriksaan semula akan dilakukan selepas tujuh hari nanti.
“Jika pemilik telah memperbaiki kaedah pemeliharaan. Kes boleh dianggap selesai. Manakala jika pemilik ingkar Notis Penambahbaikan pula pemilik bakal berdepan tindakan undang-undang di bawah peruntukkan Akta Kebajikan Haiwan 2015 kerana pengabaian dan penganiayaan,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, melalui video berdurasi 27 saat yang dimuatnaik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu semalam, terlihat seekor kucing yang terkurung di dalam sangkar dan sedang kesejukan kerana dibiar terkena basahan hujan.
Menurut pengadu, kes itu bukanlah kali pertama terjadi, sebaliknya telah berlaku berulang kali oleh kerana kedegilan pemiliknya.