Pemilik darah ‘rare’ tidak lokek menderma

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BACHANG 22 Julai – Memiliki darah kumpulan O JK3, dikategorikan sebagai ‘rare’ dalam kalangan rakyat di Negara ini menjadikan Noorazmir Md Shah, 39, lebih bersemangat untuk menderma darah.

Atas sifat terpujinya itu Noorazmir menerima Anugerah Penderma Darah Responsif (Rare Blood Group) pada Majlis Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2023, di sini, hari ini.

Bagi Noorazmir, pemilik darah rare seperti perlu tampil sebagai penderma kerana kelebihan yang dimiliki secara semula jadi itu amat berguna dalam membantu individu lain memerlukan.

“Biasanya kumpulan darah jenis ini lebih kepada antibodi dan kita boleh menderma kepada kumpulan yang sama sahaja.

“Kalau di Melaka mungkin ada sekitar lima ke enam orang sahaja memiliki darah jenis ini. Saya akan menderma apabila mendapat panggilan daripada jabatan kesihatan untuk kes-kes tertentu.

“Pernah juga saya pergi ke program luar untuk menderma, tapi tidak boleh mereka (pegawai kesihatan) tidak benarkan kerana ada kes tertentu sahaja baharu boleh derma,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini, hari ini.

Setakat ini sudah lebih 20 kali dia menderma selepas mengetahui dirinya tergolong dalam kategori kumpulan darah O JK3.

“Saya hanya tahu tergolong dalam kumpulan darah O JK3 selepas pemeriksaan dijalankan pegawai kesihatan yang datang ke tempat kerja untuk program derma darah. Selepas itu barulah tahu saya ini dikategorikan sebagai penderma istimewa,” katanya.

WhatsApp Image 2023-07-22 at 3.06.06 PM
KAY Hiong menunjukkan buku menderma darah miliknya sejak tahun 1989.

Sementara itu Sim Kay Hiong, 72, berbangga selepas menerima Anugerah Khas Penderma Darah pada majlis berkenaan.

“Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya sentiasa derma darah biarpun ramai yang takut untuk keluar rumah ketika itu.

“Darah saya dalam kumpulan A+ dan mula menderma pada tahun 1989, sehingga umur 70 tahun saya telah merekodkan 91 kali aktiviti menderma darah.

“Sekarang umur sudah lebih jadi jabatan kesihatan tidak benarkan saya menderma lagi biarpun masih sihat,” katanya yang menetap di Ujong Pasir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1885
Kongsi :
Previous post Derma darah setiap tiga bulan
Next post Festival Masakan Warisan sasar tarik 30,000 pengunjung
Ubah saiz-+=