Sorting by

×

PEMILIK BANGUNAN HARAM RUNTUH BERDEPAN KOMPAUN RM50,000

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 20 Oktober – Pemilik bangunan runtuh di Bukit Senjuang bakal berdepan tindakan di bawah Akta Jalan dan Perparitan, Seksyen 70 (1) yang boleh dikompaun maksimum RM50,000.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman bagaimanapun berkata, pihaknya sedang menunggu laporan lengkap daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Katanya, laporan itu antara faktor mengapa pihaknya belum memanggil pemilik dan kontraktor bangunan haram yang runtuh hingga meragut nyawa seorang pekerja pembinaan warga asing, baru-baru ini.

“Kontraktor dan pemilik bangunan terbabit telah dipanggil oleh CIDB untuk disoal siasat berhubung kejadian berkenaan minggu lalu.

“Kita memang sudah kenal pasti siapa pemilik tersebut dan dia belum buat apa-apa ‘submission’ dan setakat ini pemilik dan kontraktor belum dipanggil disebabkan perkara ini masih lagi dalam tindakan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Melaka Citra Floria Hair Show 2024, di sini, malam tadi.

Shadan bagaimanapun memaklumkan pihaknya masih belum menetapkan jumlah denda yang sepatutnya dikenakan terhadap pemilik dan kontraktor bangunan terbabit memandang terdapat beberapa perkara berkaitan yang perlu disiasat terlebih dahulu.

“Denda yang bakal dikenakan juga bergantung kepada laporan yang akan diperoleh daripada CIDB,” katanya.

Dalam kejadian 11 Oktober lalu, media melaporkan struktur utama bangunan setinggi tiga tingkat itu runtuh ketika dalam pembinaan dan menyebabkan kematian seorang pekerja warga Bangladesh manakala dua lagi pekerja warga Pakistan parah.

Ketiga-tiga mangsa berusia antara 20 hingga 40 tahun itu dilaporkan sedang membuka ‘stagging’ konkrit sebelum semua mereka terperangkap di bawah runtuhan terbabit.

Ekoran itu, MBMB dan CIDB mengeluarkan notis arahan pemberhentian kerja serta-merta terhadap projek pembinaan berkenaan.

Siasatan awal CIDB mendapati kontraktor utama projek pembinaan terbabit berdaftar secara sah di bawah agensi kerajaan itu.

Namun, ketiga-tiga pekerja binaan warga asing yang terbabit dalam insiden itu termasuk yang maut tidak mempunyai perakuan pendaftaran personel binaan atau akreditasi pekerja daripada CIDB.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

208
Kongsi :
Previous post TIADA JEJAK HARIMAU KUMBANG, PERHILITAN MELAKA PASANG PERANGKAP KAMERA
Next post 50 BELIA MELAKA TERIMA SUMBANGAN KIT MAKANAN SEMPENA DEEPAVALI
Ubah saiz-+=