Pemilihan UMNO Melaka berjalan lancar, tertib

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

MELAKA 12 Mac – Proses pengundian bagi pemilihan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian-Bahagian UMNO dalam Negeri Melaka dan peringkat pusat semalam berlangsung lancar.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Mustafa Musa berkata, proses pengundian di kesemua enam bahagian negeri tersebut dipantau oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU).

Menurutnya, meskipun di beberapa bahagian meyaksikan pertarungan sengit bagi merebut kepimpinan sayap parti, namun proses itu berjalan lancar, tenang dan tertib.

“Bagi pihak Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka,saya mengucapkan tahniah kepada semua perwakilan sayap-sayap yang telah menunaikan tanggungjawab pemilihan dengan semangat dan disiplin yang tinggi, demi kelangsungan UMNO yang kita cintai.

“Tahniah juga kepada mereka yang terpilih. Semoga semua yang terpilih dapat mendukung amanah parti dan perwakilan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemilihan itu menyaksikan beberapa muka baharu telah dilantik sebagai ketua wanita, pemuda dan puteri bahagian.

Bahagian Masjid Tanah menyaksikan Siti Kalthsom Ahmad diangkat sebagai Ketua Wanita Bahagian yang baharu apabila meraih 225 undi, menewaskan penyandangnya, Datuk Wira Latipah Omar yang mendapat 99 undi.

Situasi sama turut berlaku di Jasin apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai menang besar dengan mendapat 294 undi, jauh meninggalkan penyandang jawatan Datuk Zaleha Bujang (27 undi) dan seorang lagi pencabar Rositah Othman (127 undi), sementara Rabeah Adawiyah Mohd Ali pula menang di Alor Gajah selepas mendapat 263 undi.

Dua lagi bahagian iaitu Pengkalan Batu dan Tangga Batu menyaksikan penyandangnya iaitu Datuk Kalsom Noordin dan Datuk Nor Adibah Abdullah berjaya mempertahankan kerusi Ketua Wanita selepas menewaskan pencabar masing-masing, manakala Kota Melaka pula kekal disandang Datuk Haryaty Hamdzah yang menang tanpa bertanding.

Bagi Pemuda UMNO pula, hanya dua bahagian menyaksikan pertandingan jawatan Ketua Pemuda iaitu Alor Gajah dan Tangga Batu.

Bahagian Alor Gajah menyaksikan Amirul Basiron menang dalam perebutan Ketua Pemuda Bahagian selepas mendapat 137 undi menewaskan pencabarnya Muhamad Nur Khairin Kasim (126 undi).

Manakala Ahmad Yusuf Rahmat pula menang sebagai Ketua Pemuda Tangga Batu dengan memperoleh 189 undi, mengalahkan Mohd Nor Azlan Arifin (108 undi).

Mereka yang menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda Bahagian adalah Abdul Hakim Abdul Wahid (Masjid Tanah), Muhamad Najmi Mohd Nordin (Hang Tuah Jaya), Mohd Asyraf Zainal (Kota Melaka) dan Muhamad Farouq Mustafa (Jasin).

Sementara itu, bagi perebutan jawatan Ketua Puteri, hanya satu bahagian sahaja dipertandingkan iaitu Tangga Batu yang menyaksikan Nur Izzi Mohamad Ali menang apabila memperoleh 111 undi menewaskan pencabarnya, Muzhidayah Tajuddin (75 undi).

Manakala Ketua Puteri bahagian lain disahkan menang tanpa bertanding.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3301
Kongsi :
Previous post Terima 10 jahitan, gaduh gara-gara enggan main ‘Mobile Legend’
Next post Isu kelas padat, kerusi meja tidak cukup akan diselesaikan segera – Exco
Ubah saiz-+=