Sorting by

×

Pemilihan UMNO: Ahmad Zahid bersikap terbuka, sedia dicabar

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

PUTRAJAYA, 5 Jan – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk memegang jawatan nombor satu parti itu pada pemilihan parti akan datang.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ia bagi memberi peluang kepada kira-kira 160,000 perwakilan untuk memilih pucuk pimpinan parti khususnya bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Ahmad Zahid berkata terserah kepada perwakilan UMNO untuk membuat pilihan masing-masing sekali gus menentukan hala tuju parti bagi memastikan UMNO kekal relevan di pentas politik.

“Kuasa mutlak adalah kuasa perwakilan yang mewakili cawangan dan bahagian masing-masing di seluruh negara,” katanya ketika ditanya sama ada dua jawatan utama parti itu akan dipertandingkan dalam pemilihan akan datang, yang perlu diadakan tidak lebih enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

Pada pemilihan yang diadakan pada 2018, Ahmad Zahid dipilih sebagai Presiden setelah menewaskan dua pencabarnya iaitu Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah, dengan memperoleh 93 undi berbanding Khairy (51) dan Tengku Razaleigh (23).

“Dalam pemilihan sebelum ini (2018), saya dicabar dua ahli parti namun keputusan memihak kepada saya. Bukan riak, bukan sombong dan takbur tapi ini terbukti pada 2018,” katanya.

Ditanya sama ada parti itu akan menjemput mana-mana parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022) minggu depan, Ahmad Zahid berkata UMNO mengambil pendirian untuk tidak berbuat demikian.

PAU2022 asalnya dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 24 Dis lepas tetapi ditangguhkan kepada 11 hingga 14 Jan ini.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1839
Kongsi :
Previous post Ahmad Redza dilantik Ketua Pengarah Kerja Raya baharu
Next post Shahrir Samad bebas tuduhan gagal isytihar pendapatan RM1 juta kepada LHDN
Ubah saiz-+=