PEMIKIR harap Ismail Sabri prihatin Bumiputera
PULAU PINANG 22 Ogos – Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (PEMIKIR) berharap pentadbiran kerajaan di bawah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9 tidak mengabaikan kesejahteraan dan pembangunan Bumiputera di negeri itu.
Pengerusinya Datuk Dr Muhammad Farid Saad berkata, pihaknya mengharapkan pimpinan diterajui Ismail memberi perhatian serius terhadap kedudukan sosioekonomi golongan itu.
“PEMIKIR ingin mengambil kesempatan untuk memohon jasa baik Perdana Menteri untuk memberi perhatian yang serius terhadap kedudukan sosioekonomi kami, berikutan sejak 2008 kerajaan pimpinan DAP telah mengabaikan kesejahteraan dan pembangunan Bumiputera Pulau Pinang.
“Projek yang dirangka kerajaan negeri seolah-olah tidak mengambil kira kepentingan Bumiputera dan berharap Perdana Menteri akan mengarah agensi kerajaan persekutuan untuk merangka pelan pembangunan yang komprehensif untuk memastikan kepentingan Bumiputera Pulau Pinang kekal terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, pihaknya menzahirkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri atas lantikan sebagai Perdana Menteri, semalam.
“PEMIKIR ingin menzahirkan setinggi tahniah ke atas Ismail Sabri dan percaya beliau mempunyai pengalaman dan kebolehan untuk menerajui negara di waktu yang amat mencabar ini.
“Justeru, kami menyeru semua kepimpinan dan rakyat untuk menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan kerajaan meneruskan segala usaha untuk menangani pandemik COVID-19, memulihkan ekonomi dan memperkukuh perpaduan negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.