PEMERKASA: PKP mungkin tidak lagi dilaksanakan secara menyeluruh

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

KUALA LUMPUR 17 Mac. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkemungkinan tidak perlu lagi dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi seluruh negara atau sesuatu negeri dengan mengambil kira pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ketika ini.

Perdana Menteri berkata strategi kawalan penularan COVID-19 negara akan dilaksanakan secara lebih bersasar bersandarkan sains dan data bagi mengurangkan impak negatif terhadap aktiviti ekonomi negara.

“Kawalan pergerakan hanya akan dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja,” katanya dalam pengumuman khas mengenai Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bernilai RM20 bilion melalui siaran televisyen, hari ini.

MUHYIDDIN…PKP mungkin tidak perlu lagi dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara atau sesuatu negeri mengambil kira pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ketika ini.

Perkara ini antara 20 inisiatif strategik di bawah PEMERKASA dan terletak di bawah fokus pertama program berkenaan iaitu bagi mengawal penularan COVID-19.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilancarkan secara rasmi 24 Februari lalu dengan sasaran memberikan imunisasi percuma kepada kira-kira 80 peratus penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Mengenai program berkenaan, Muhyiddin berkata di bawah PEMERKASA kerajaan juga bersetuju menaikkan peruntukannya daripada RM3 bilion sebelum ini kepada RM5 bilion untuk mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok Disember ini, berbanding sasaran awal, suku pertama tahun hadapan.

“Untuk mencapai sasaran ini, seramai 15,000 petugas akan ditempatkan di hampir 950 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.

“Mengambil kira pertambahan tugas itu, kerajaan setuju Bantuan Khas COVID-19 dengan kadar RM200 sebulan dipanjangkan kepada petugas penjawat awam yang terlibat dalam program imunisasi di PPV berkenaan,” katanya dan menambah bahawa sehingga kini lebih 300,000 rakyat telah menerima suntikan pertama vaksin.

Sementara itu, selaras Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, perdana menteri berkata pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan penguatkuasaan perundangan lebih ketat dan telus akan terus dilaksanakan bagi mengawal penularan COVID-19.

Ini termasuk dalam melindungi golongan pekerja yang menurutnya di bawah inisiatif ‘Safe@Work’, sebuah program baharu yang akan mula dibuka pendaftaran 1 April ini, kerajaan bersetuju memberi potongan cukai tambahan ke atas perbelanjaan sewaan premis dan asrama pekerja syarikat pengilangan dan perkhidmatan yang menyertainya.

Jelasnya, program bersifat sukarela di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu mempertanggungjawabkan majikan menyediakan tempat kerja dan penginapan kondusif para pekerja.

“Perbelanjaan yang layak untuk mendapat potongan cukai tambahan ini dihadkan kepada RM50,000 bagi setiap syarikat berdaftar dengan MITI dan lulus audit pematuhan Safe@Work.

“Syarikat berdaftar dengan MITI untuk program ini akan dibenarkan beroperasi dalam keadaan di mana pekerja kontak rapat diasingkan daripada komuniti setempat dan pekerja lain dengan meletakkan mereka di dalam ‘Safe work bubble’ sehingga kesemua pekerja disahkan selamat,” katanya.

Selain itu, perdana menteri berkata majikan yang membuat ujian pengesanan COVID-19 untuk pekerjanya dibenarkan membuat potongan cukai tambahan ke atas kos ujian pengesanan COVID-19 bagi perbelanjaan dibuat sehingga 31 Disember ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

351
Kongsi :
Previous post BNM tingkat kemudahan pembiayaan automasi dan digitalisasi bantu PKS
Next post Had gaji maksimum bagi elaun pekerja cacat naik kepada RM1,500
Ubah saiz-+=