
PEMERIKSAAN KETAT BAS EKSPRES DI DEPOH DAN TERMINAL
AYER LIMAU 29 Mac – Bas ekspres beroperasi sepanjang musim perayaan Aidilfitri akan melalui pemeriksaan sebanyak dua kali iaitu di depoh milik syarikat masing-masing dan Terminal Melaka Sentral sebelum memulakan trip perjalanan.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pemeriksaan yang juga sebahagian daripada langkah penguatkuasaan itu amat penting bagi menjamin keselamatan penumpang.
“Kita mahu mengesan kemungkinan ada pengendali bas ekspres ini yang culas dan menggunakan pelbagai taktik untuk mengelakkan daripada dikenakan tindakan kerana bas digunakan gagal mengikuti aspek keselamatan ditetapkan.
“Contoh ketika pemeriksaan di depoh mungkin tayar pada bas menepati ciri ditetapkan, tetapi ada kemungkinan ditukar kepada tayar lain yang kurang elok menyebabkan kenderaan itu tidak selamat.
“Berikutan itu kita ambil keputusan untuk laksanakan pemeriksaan peringkat depoh dan terminal sebelum bas memulakan perjalanan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Poghut Ayer Limau di kediaman beliau di Kampung Jeram, di sini, semalam.
Mengulas lanjut Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata, antara aspek diberikan penekanan ketika pemeriksaan dijalankan adalah melibatkan sistem brek, tayar dan enjin bas digunakan.
“Selain itu pemandu juga akan diminta menjalani ujian saringan air kencing bagi memastikan mereka bebas daripada pengaruh dadah ketika mengendalikan bas.
“Sementara itu bagi menjamin kelancaran trafik dan mengurangkan risiko kemalangan sepanjang musim perayaan ini, agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah memulakan operasi sejak 24 Mac lalu dan berterusan hingga 8 April, ” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.