Pemergian Cuthbert kehilangan besar buat APM

Masa Membaca:2 Minit, 34 Saat

TENGKERA 16 Jun – Pemergian Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt. Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra, 47 satu kehilangan besar buat warga agensi itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi APM, Dr. Norhafifi Ismail berkata, sejak menerima berita kematian mendiang seluruh warga APM sebak dan sedih dan beliau percaya ramai lagi terasa dengan pemergian pemimpin agensi negeri itu.

Jelasnya, kali terakhir bertemu dengan Quadra adalah ketika jamuan hari raya APM minggu lalu dan menyifatkan mendiang seorang yang ceria.

“Sejak kejadian mengejut ini kita lihat mendiang tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda sakit malah dia sihat saja.

“Saya baru jumpa pada minggu lepas dan nampak dia sihat macam biasa cuma dari segi berat badan ada nampak susut sikit, saya ada tanya kenapa kurus jadi jawapan dia sebab nak ‘maintain’ BMI (berat badan ideal), jadi dia kurang makan sikit kalau tak nanti berlebih.

“Sejak menerima berita kematian ini seluruh warga APM termasuk saya berasa sebak dan sedih kerana beliau rapat dengan semua orang, saya percaya ramau lagi warga APM terutama yang bekerja dengannya masih terasa kehilangan ini,” ceritanya dalam nada sebak.

Norhafifi menyifatkan sejak mengenali mendiang yang berkhidmat pada 2006 merupakan seorang pemimpin yang bersemangat tinggi.

“Beliau sentiasa bersemangat dan tak pernah merungut ke mana juga ditugaskan untuk bekerja, apa tugasan yang diberikan akan dilaksanakan dengan terbaik sebab itulah kita rasa ini merupakan satu kehilangan besar buat kita.

“Sejak 15 tahun berkhidmat ramai yang kenalnya kerana beliau mudah mesra dan bergaul dengan orang ramai, semua suka pada dia,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penghormatan terakhir mendiang di Kang Casket, Jalan Tengkera di sini.

NORHAFIFI

Terdahulu, lebih 100 hadir malam tadi terdiri daripada warga APM dan ahli keluarga mendiang bagi memberi penghormatan terakhir buat mendiang yang menghembuskan nafas terakhir, kelmarin.

Upacara penghormatan terakhir itu berlangsung bermula 8 malam hingga 12 tengah malam tadi sebelum jasad Cuthbert dibawa untuk proses penghantaran pulang ke kampung halamannya di Singgah Mata, Keningau, Sabah dengan menggunakan pesawat Malaysia Airlines

Antara yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong; Komandan Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan, Lt Kol (PA) Lokman Hakim Abdul Rahman; Pengarah APM Kelantan, Lt Kol (PA) Mohd Adzhar Mujab dan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Melaka, Norazlee Sulaiman.

Adik kandung mendiang, Rovena Devra Quadra sebak ketika memberi penghormatan terakhir kepada jasad abang kandungnya malam tadi.

Ahli keluarga mendiang yang turut hadir adalah adik kandung mendiang, Rovena Devra Quadra,43 dan sepupunya, Petronella J.J. Hussin, 47.

Mayat mendiang dibawa ke kampung halamannya di Singgah Mata, Keningau, Sabah pada jam 8 pagi ini bagi upacara penghormatan terakhir sebelum diajdual untuk disemadikan di lokasi sama pada jam 10 pagi esok.

Semalam media melaporkan mendiang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Melaka (HM) ketika mendapatkan rawatan kira-kira 10 pagi selepas rebah di pejabatnya di Ayer Keroh di sini kira-kira 8 pagi.

Beliau pernah berkhidmat di APM Pulau Pinang sebelum dilantik sebagai Pengarah APM Melaka berkuat kuasa 1 Jan 2021.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1631
Kongsi :
Previous post Panik anak terkunci dalam kereta
Next post Bina jalan ladang dan turap jalan dengan kos RM 70,000
Ubah saiz-+=