Pementasan terhebat Melaka di Panggung Bangsawan
BANDARAYA MELAKA 20 April – Panggung Bangsawan akan menjadi panggung pementasan yang terhebat di Negeri Melaka.
Timbalan Pengerusi Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, perkara itu bakal menjadi realiti apabila melihat sendiri fasiliti dan struktur panggung terbabit selepas kerja-kerja penambahbaikan dilakukan.
Beliau yang juga Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri memaklumkan panggung tersebut akan dibuka kepada orang ramai seawal 24 April ini dengan pelbagai pengisian persembahan kebudayaan.
“Majlis pelancaran pembukaan semula panggung ini akan dilakukan pada 6 Mei depan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, tetapi panggung ini akan dibuka lebih awal dengan mengadakan pelbagai persembahan pre-launch pada 24 hingga 30 April ini.
“Pada saya panggung ini akan menjadi panggung terhebat di Melaka, melihat kepada hasil penambahbaikan serta lokasinya terletak di atas tapak panggung yang penuh nostalgia iaitu panggung Cathay, ia akan menjadi tumpuan.
“Selepas pembukaan semula panggung ini nanti, kita harapkan ia bakal menjadi satu lagi produk pelancongan negeri seterusnya dapat menarik lebih ramai pengunjung ke sini sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mengiringi Ketua Menteri pada sesi lawatan tapak dan pemeriksaan penuh panggung terbabit.
Turut bersama, Ketua Pegawai Eksekutif MCORP, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Khaidhirah berkata, pihaknya berpuas hati dengan penambahbaikan yang dilakukan, termasuklah membabitkan aspek teknikal pada sesi pemeriksaan penuh itu.
“Alhamdulillah, mengenali Ketua Menteri, saya yakin beliau turut berpuas hati dengan ‘soundcheck’, ‘lighting’ serta pelbagai lagi sistem teknikal kerana ini adalah ‘official check’ panggung ini sebelum majlis perasmian pembukaan semula.
“Saya sendiri ketika pemantauan duduk di bahagian tempat duduk hadapan, tengah, belakang dan di atas untuk membuat pemeriksaan ketika persembahan raptai diadakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.