PEMBUKAAN SIDANG DUN MELAKA TEGANG DENGAN LAUNGAN ‘KATAK’, ‘PENGKHIANAT’
SERI NEGERI 27 Disember – Pembukaan Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas tegang seketika apabila berlaku pertikaman lidah di antara Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh (BN-Merlimau) dan Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia), hari ini.
Ketegangan itu tercetus selepas Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum mengisytihar kedudukan Muhammad Jailani diubah kepada blok pembangkang berkuat kuasa serta-merta.
Dr. Muhamad Akmal kemudiannya memohon untuk mencelah mengenai status pengunduran masa (backdated) keluar parti yang dikhuatiri akan berulang lagi, sebelum berlaku pertikaman lidah dengan Muhammad Jailani.
Ibrahim kemudiannya menenangkan keadaan dan meminta semua Ahli Berhormat untuk duduk.
Bagaimanapun suasana tegang itu berulang apabila Dr. Muhamad Akmal bangun untuk kali kedua disusuli Muhammad Jailani turut bangun sehingga tercetusnya laungan ‘katak’, ‘pengkhianat’ dan ‘biadab’ sehingga ia turut membabitkan ahli dewan yang lain.
Ibrahim bagaimanapun berjaya meleraikan pertelingkahan tersebut dan persidangan kemudiannnya diteruskan dengan pertanyaan-pertanyaan untuk jawapan mulut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.