PEMBUKAAN SEMULA LTAM BAWA REZEKI KEPADA RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 26 September – Pembukaan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) menerusi penerbangan terus dari Singapura ke Melaka bermula 23 Oktober bakal memberi limpahan manfaat bukan sahaja kepada negeri, bahkan rakyat di negeri ini.

Seorang penduduk Maimunah Cheklah, 39, gembira dengan pembukaan semula laluan udara itu bakal memberi tempias kepada pelbagai sektor, khususnya pelancongan.

Malah, dia berpendapat, golongan peniaga kecil dan pelbagai perkhidmatan lain turut menerima impaknya apabila lebih ramai pelancong masuk ke negeri ini melalui LTAM.

“Ramai yang akan menerima manfaat daripada pembukaan semula laluan udara ini, antaranya peniaga kecil, syarikat perhotelan, inap desa sehinggalah produk-produk pelancongan yang ada di negeri ini.

“Malah, saya percaya impaknya juga meluas kepada sektor pengangkutan negeri seperti pengangkutan awam, e-hailing dan sebagainya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, dia meminta agar semua melakukan persiapan rapi dalam menyambut kedatangan pelancong dari pintu masuk LTAM, termasuk dalam aspek kesediaan tempat pelancongan, keselamatan dan kebersihan.

“Jadi Melaka kena bersedia, dari sudut pelancongan adalah perkara utama yang perlu diberi perhatian sebab kita mahukan imej Melaka kekal segar di mata pelancong-pelancong yang bakal bertandang.

“Kebersihan juga perlu diutamakan dalam segenap aspek malah lokasi pelancongan perlu ditambah baik dari segi pencahayaan dan papan tanda yang memudahkan, selain aspek keselamatan juga perlu diperkasa supaya pelancong dapat berasa selamat dan selesa apabila melancong ke Melaka,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengumumkan syarikat penerbangan tambang rendah Singapore Airlines, Scoot bakal mendarat di LTAM selama lima kali seminggu bermula 23 Oktober.

Selain penerbangan, Melaka juga bakal menerima kemasukan lebih 200,000 pelancong antarabangsa menerusi persinggahan kapal persiaran mewah Genting Dream Cruise bermula November depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3289
Kongsi :
Previous post MELAKA IKRAR ‘PERANGI’ MASALAH TELEKOMUNIKASI
Next post KAUNTER BAYARAN, KHIDMAT PELANGGAN MPAG DIBUKA PADA WAKTU REHAT
Ubah saiz-+=