Pembukaan sempadan: Sabah terima penerbangan antarabangsa pertama dari Singapura pada 16 April
KOTA KINABALU, 5 April – Sabah dijadual menerima kemasukan penerbangan antarabangsa yang pertama dari Singapura pada 16 dan 29 April ini selepas pintu sempadan negara dibuka pada 1 April lepas.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata penerbangan berkenaan adalah melalui pesawat AirAsia dan Scoot, penerbangan tambang murah Singapura.
“Saya yakin ramai (pelancong Singapura) yang menanti penerbangan ke Sabah kerana sebelum ini saya mendapat jemputan bersama ejen pelancongan (Singapura) untuk berbincang perkara ini tetapi pintu sempadan masih ditutup” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Juadah Keluarga Malaysia anjuran Sutera Harbour Resort di sini malam tadi.
Jafry berkata selain Singapura, penerbangan dari Brunei Darussalam juga akan mula beroperasi ke Sabah bermula pada 6 Mei depan dengan dua kali penerbangan dalam seminggu iaitu pada hari Jumaat dan Ahad.
Mengenai program itu, Jafry berkata ia merupakan aktiviti tahunan resort berkenaan yang diadakan setiap kali Ramadan namun sejak COVID-19 melanda negara dua tahun lepas ia telah dihentikan buat sementara waktu.
Beliau berkata dengan peralihan ke fasa endemik mulai April ini, membolehkan lebih banyak resort mahupun hotel menyediakan hidangan juadah pelbagai jenis makanan sekali gus memeriahkan suasana Ramadan.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sutera Harbour Resort Gilbert Ee berkata Juadah Keluarga Malaysia akan bermula pada pukul 6 petang setiap hari sehingga 10 malam dengan harga RM138.00 untuk dewasa dan RM70.00 untuk kanak-kanak berusia empat hingga 11 tahun.
Beliau berkata lebih 300 juadah berbuka puasa yang disahkan halal disediakan selain persembahan ghazal istimewa akan dimainkan semasa berbuka puasa dan kemudahan surau turut disediakan untuk tetamu menunaikan solat maghrib serta tarawih.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.