Pembonceng motosikal maut kepala digilis bas
AYER KEROH 16 Jun – Seorang surirumah maut selepas motosikal diboncengnya hilang kawalan sebelum terjatuh lalu digilis sebuah bas ekspres di Jalan Tun Razak, pagi tadi.
Dalam kejadian berhampiran sebuah kompleks beli belah, di sini, kira-kira jam 9.15 pagi itu, mangsa, Ida Sarini Abu Bakar, 44, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama suaminya berusia 47 tahun yang menaiki motosikal jenis Kawasaki KLE650-C sedang dalam perjalanan menghala ke Tol Ayer Keroh dari arah Bukit Beruang.
Menurutnya, kemalangan berlaku apabila motosikal berkenaan hilang kawalan ketika hendak memotong sebuah kereta di hadapan.
“Akibat hilang kawalan, penunggang motosikal telah terjatuh di lorong kiri, manakala pembonceng terjatuh ke laluan bersebelahan.
“Ketika itu, kepala pembonceng motosikal telah digilis tayar belakang kiri bas ekspres yang melalui jalan berkenaan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan patah pergelangan tangan kanan, selain luka di bahu dan lutut dan dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan,” katanya.
Beliau berkata, mayat pembonceng motosikal telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan untuk bedah siasat.
Katanya lagi, polis turut menjalankan ujian alkohol dan dadah ke atas pemandu bas berusia 54 tahun serta penunggang motosikal dan kedua-duanya negatif pengambilan barang terlarang.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan pihak polis masih mengesan saksi bebas yang melihat kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.