Pembonceng maut, penunggang parah motosikal terbabas
ALOR GAJAH 24 April – Seorang pembonceng meninggal dunia manakala penunggangnya parah selepas motosikal dinaiki terbabas ke dalam longkang dalam kejadian di Jalan Tebong di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada jam 1.30 pagi itu, mangsa, T Navindran, 26 meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tampin akibat kecederaan parah manakala seorang lagi lelaki seusianya parah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, pihaknya menerima laporan daripada hospital berkenaan memaklumkan mengenai kematian mangsa akibat kemalangan pada jam 4.30 pagi.
Katanya, berikutan itu siasatan awal dijalankan dan mendapati kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Machap menghala ke Tebong ketika kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki hilang kawalan sebelum terbabas jatuh ke dalam longkang pada sebelah kiri jalan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke hospital terbabit sebelum seorang daripada mangsa iaitu pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
“Seorang lagi mangsa iaitu penunggang motosikal cedera dan masih dirawat di zon merah hospital terbabit,” katanya.
“Mayat pembonceng akan dibesah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.
Arshad berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan tayar di atas rumput sebelah kiri jalan dan jalan raya berkenaan mempunyai dua lorong dua hala dan berselekoh serta keadaan cuaca baik.
Jelasnya, siasatan bagaimanapun masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.