Sorting by

×

PEMBINAAN LOJI WTE PERLU DISEGERAKAN

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SERI NEGERI 25 April – Pembinaan loji pemprosesan sisa pepejal kepada tenaga (WTE) di tapak pelupusan sisa pepejal sanitari Sungai Udang diharapkan dapat dilaksanakan dengan segera.

Harapan ini disuarakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, berikutan keperluan mendesak untuk menangani masalah pelupusan sisa yang semakin kritikal di negeri ini.

“Saya berharap Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan dapat memudahkan dan menyelesaikan isu serta keperluan mendesak ini dengan segera demi memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya penduduk setempat, terjamin.

“Projek ini amat penting untuk meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat selain memastikan persekitaran lebih sihat dan selamat. Kemudahan ini juga dapat meningkatkan kecekapan pengurusan sisa dan tenaga, menjadi lebih efisien dan mesra alam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Dewan Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.

Turut bersama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan agensi kerajaan.

Tun Dr. Mohd Ali turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan pembinaan loji WTE di tapak pelupusan sisa pepejal sanitari Sungai Udang.

“Walaupun peruntukan projek telah diluluskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada tahun 2022 dan pemberian tender kepada syarikat pelaksana telah dibuat, namun sehingga kini pelaksanaannya masih belum dimulakan.

“Kapasiti kawasan sisa pepejal sedia ada tidak mampu lagi dapat menampung timbunan sisa pepejal yang datang melebihi 1,000 tan setiap hari, jadi saya berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

250
Kongsi :
Previous post INISIATIF DIGITAL TINGKATKAN TAHAP KETERHUBUNGAN RAKYAT MELAKA
Next post WRUR BUKA RUANG PEMIMPIN SANTUNI RAKYAT