
PEMBINAAN JALAN BAHARU KUALA LINGGI-AYER MOLEK, MASJID TANAH BERMULA HUJUNG TAHUN INI
KUALA LINGGI 8 April – Satu jajaran jalan raya baharu sejauh 6.2 kilometer akan dibina dari Kuala Linggi ke Ayer Molek, Masjid Tanah dalam usaha beterusan Kerajaan Negeri memberikan kemudahan awam terbaik dan berkualiti kepada rakyat.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata pembinaan jalan baharu tersebut dijangka akan bermula pada hujung tahun ini.
Mengulas lanjut Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata, tender bagi projek tersebut akan dibuka pada 28 November ini dan tempoh pembinaan adalah selama dua tahun.
“Kos diperuntukan untuk pembinaan jalan baharu ini membabitkan anggaran nilai RM126 juta dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana.
“Jalan baharu ini dicadang akan dibina dua lorong termasuk membina sebuah jambatan dengan jarak 30 meter,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Hameed berkata, pembinaan jalan baharu itu dapat memendekkan jarak perjalanan selain menawarkan laluan alternatif kepada penduduk sekitar.
“Bagaimanapun sekarang ini kerja-kerja pengambilan tanah sedang diselesaikan sebelum tender dibuka pada November depan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.