Pembinaan bangunan tambahan atasi kepadatan murid

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

SERI NEGERI 10 Julai – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memohon pembinaan bangunan tambahan bagi empat buah sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, bagi menangani masalah isu kepadatan murid.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi  dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, berdasarkan data purata murid di sekolah rendah di DUN Durian Tunggal ia masih dapat menampung enrolmen sedia ada pada waktu ini.

Katanya, namun begitu JPN telah merancang memohon bangunan tambahan bagi menangani isu di sekolah sekitar DUN Durian Tunggal.

“Empat sekolah yang disenaraikan bagi permohonan bangunan tambahan bilik darjah adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam, SK Parit Melana, SK Durian Tunggal dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal.

“Daripada senarai sekolah itu, tiga permohonan dibuat bagi pembinaan bangunan tambahan untuk 12 bilik darjah dan untuk SMK Durian Tunggal hanya enam bilik darjah termasuk kemudahan lain.

“Malah status permohonan bagi SK Belimbing Dalam telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) Rolling Plan 4 (RP4) dan tiga lagi sudah diangkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman menjawab soalan lisan Zahari Abd Kalil (BN-Durian Tunggal) berhubung masalah kepadatan murid sekolah di DUN Durian Tunggal, pada Persidangan Kedua, Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15, hari ini.

Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, JPN bersama Pejabat Pendidikan Alor Gajah juga, sedang dalam pelaksanaan kajian keperluan dan lokasi yang sesuai bagi pembinaan sekolah menengah dan rendah baharu.

“Usaha ini adalah bagi mengatasi kepadatan murid di kawasan DUN Durian Tunggal,” katanya.

Sementara itu, Fairul Nizam berkata, perancangan pembinaan sebuah sekolah menengah di DUN Rembia ditapak seluas 15 ekar dengan perbelanjaan RM65 juta juga antara usaha dilakukan dalam mengatasi masalah kepadatan murid.

“Pembinaan sekolah ini yang apabila siap kelak akan mempunyai 24 bilik darjah diharap dapat mengatasi isu kepadatan di SMK Dato Dol Said dan SMK Dato Talib Karim,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

449
Kongsi :
Previous post SUKMA 2024: 9 sukan jadi sandaran Melaka raih emas
Next post Empat projek penambahbaikan sistem pengangkutan jalan darat
Ubah saiz-+=