Sorting by

×

Pemberian vaksin secara menyeluruh diharap pulihkan ekonomi

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 Feb. – Hampir setahun berlalu penularan pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan akhirnya bakal menemui jalan penyelesaian menerusi Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 dilaksanakan kerajaan.

Program dilaksanakan dalam beberapa fasa itu dijadualkan sehingga tahun hadapan, akan memberi suntikan vaksin percuma membabitkan 80 peratus populasi negara.

Tinjauan Melaka Hari Ini di Bandaraya Melaka mendapati rata-rata penduduk menyambut baik inisiatif kerajaan itu dan berharap sektor ekonomi yang terkesan di negeri ini kembali pulih.

MUHAMAD SHAFIQ…sahut seruan kerajaan untuk ambil suntikan vaksin COVID-19.

Muhamad Shafiq Mansor,34, berkata, dia bersedia menerima suntikan vaksin COVID-19 dan menyarankan semua golongan sasaran menyokong usaha kerajaan bagi memutuskan rantaian wabak yang semakin membimbangkan.

Katanya, pengambilan vaksin kalangan rakyat sekali gus mampu merancakkan semula pelbagai sektor ekonomi di negeri ini khususnya pelancongan yang semakin lumpuh disebabkan penutupan pintu sempadan negeri dan antarabangsa akibat pandemik terbabit.

“Kita percaya apabila ramai yang menerima suntikan ini dan kadar jangkitan COVID-19 dapat diturunkan ia akan merancakkan semula ekonomi Melaka termasuk merangsang aktiviti ekonomi berkait dengan pelancongan termasuk pengangkutan dan perhotelan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

NURUL ANIS…yakin pemberian vaksin Pfizer-BioNTech mampu bendung penularan COVID-19 di Malaysia.

Kakitangan hospital swasta, Nurul Anis Mokmin, 34, bersyukur terhadap perlaksanaan program imunisasi dan yakin vaksin yang diberikan akan membawa impak positif diikuti kesan sampingan yang sangat minimum.

“Jika suntikan ini diberikan secara menyeluruh penularan pandemik ini mampu diatasi sekali gus membangunkan semula ekonomi di setiap sektor.

“Malah, sektor kesihatan negara juga dapat dipertingkatkan dengan pelbagai kajian dan saranan menyeluruh bagi membendung wabak ini,”katanya.

MOGANRAJ…berterima kasih kepada kerajaan melaksanakan program imunisasi kebangsaan.

Pegawai bank, S. Moganraj, 23, berpendapat suntikan vaksin yang diberikan membolehkan rakyat bagi menjalani kehidupan seperti biasa kerana imun terhadap virus COVID-19.

“Masyarakat yang mengambil suntikan vaksin ini diyakini dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih selamat berbanding sebelum terpaksa kekal di rumah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Terima kasih kepada kerajaan atas langkah diambil bagi melindungi rakyat daripada virus berbahaya ini.

“Sebagai rakyat yang prihatin, kita wajar menyokong usaha kerajaan ini dengan mendaftar untuk suntikan vaksin kerana jika kita melindungi diri bermakna kita melindungi orang lain,” katanya.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula semalam, dengan Fasa 1 pada Februari hingga April 2021 membabitkan 500,000 petugas barisan hadapan.

Fasa 2, pada April hingga Ogos akan melibatkan warga emas berusia 65 tahun ke atas, kumpulan berisiko tinggi dan golongan orang kurang upaya (OKU) membabitkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 pada Mei tahun ini hingga Februari 2022 meliputi rakyat Malaysia dan bukan warganegara berumur 18 tahun ke atas, dengan menyasarkan 13.7 juta penduduk.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

438
Kongsi :
Previous post Muhyiddin terima suntikan dos kedua vaksin 17 Mac ini
Next post Tapir ‘ziarah’ sekolah ketika pelajar duduki SPM
Ubah saiz-+=