Pemberian vaksin COVID-19 kanak-kanak bermula 3 Feb
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata vaksin mRNA iaitu Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion (Pfizer-BioNTech) akan digunakan untuk PICKids, dengan penghantaran pertama vaksin dari Belgium akan tiba di negara ini esok (28 Jan).
“Vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak adalah selamat dan berkesan. Pengambilan vaksin ini amat digalakkan bagi memastikan kesihatan anak-anak terpelihara,” katanya dalam sidang media PICKids di sini hari ini.
Dianggarkan empat juta kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun layak menerima vaksin berkenaan, katanya.
Dr Noor Azmi berkata sistem tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera akan dibuka bagi memudahkan ibu bapa atau penjaga membuat tempahan janji temu.
“Melalui kaedah ini, ibu bapa atau penjaga boleh memilih lokasi serta masa vaksinasi yang sesuai untuk anak mereka,” katanya serta menambah seramai 484,639 kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun telah mendaftar di MySejahtera setakat ini.
Langkah yang perlu diambil untuk membuat tempahan janji temu ialah dengan mengemas kini aplikasi MySejahtera dan mendaftar anak-anak sebagai tanggungan dalam aplikasi berkenaan, sebelum diberikan pautan bagi membuat tempahan.
Sebagai permulaan, katanya pemberian vaksin di Lembah Klang akan dilaksanakan melalui hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah perubatan, manakala yang tiada masalah perubatan akan diberikan di pusat pemberian vaksin (PPV) integrasi.
“Seterusnya, ia akan diperluaskan ke sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan,” katanya sambil menambah kaedah pemberian lain yang telah dikenal pasti adalah PPV offsite, klinik swasta, klinik kesihatan dan program jangkau luar (outreach).
Ditanya sama ada kanak-kanak jalanan juga akan terlibat dalam PICKids, beliau menegaskan tiada kanak-kanak yang akan dipinggirkan dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengenal pasti kanak-kanak terlibat. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.