Pembantu tadbir rugi lebih RM30,000 diperdaya Macau Scam

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

SEREMBAN, 19 Mei – Seorang pembantu tadbir di Port Dickson mendakwa kerugian RM38,480 setelah diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pihak syarikat kurier dan pegawai polis pada 15 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata wanita berusia 46 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada syarikat kurier berkenaan memaklumkan terdapat bungkusan barang terlarang atas namanya di pejabat tersebut, namun mangsa menafikan perkara itu.

Beliau berkata panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada seorang individu kononnya pegawai polis dikenali sebagai ASP Wong yang memberitahu wanita itu terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.

“Mangsa diminta menyerahkan maklumat perbankan dalam talian iaitu ‘username’ dan kata laluan bagi empat akaun miliknya. Dia turut menyerahkan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) yang diterima untuk tujuan pemindahan wang kepada pegawai polis itu.

“Mangsa yang merasa curiga itu kemudian membuat semakan akaun bank dan mendapati kerugian RM38,480 daripada empat akaun miliknya yang dipindahkan ke akaun tidak dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aidi Sham berkata wanita itu membuat laporan polis pada hari sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan yang mengaku sebagai badan penguat kuasa atau institusi kewangan selain tidak mendedahkan butiran perbankan kepada pihak tidak dikenali bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

536
Kongsi :
Previous post Tajuk-tajuk utama akhbar 19 Mei 2022
Next post Peralihan endemik: 500,000 pelancong asing masuk Malaysia
Ubah saiz-+=