Pembangunan, kebajikan rakyat fokus Ban Hong
KLEBANG 16 Februari – Kawasan Dataran dan Pantai Klebang, di sini, bakal menjadi kawasan rekreasi serta pelancongan utama di negeri ini.
Bagaimanapun, hasrat pembangunan itu dapat direalisasikan apabila masalah penyusunan semula tapak peniaga dan kesesakan lalu lintas di kawasan itu ditangani.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, selaku wakil rakyat di kawasan itu, beliau memberi fokus untuk membangunkan pantai pelancongan itu meskipun sudah menjadi lokasi utama kepada pelancong.
“Saya memberi fokus untuk bangunkan kawasan Dataran Klebang dan Pantai Klebang ini sebagai kawasan reakrasi dan pelancongan utama Melaka.
“Malah saya juga ada menerima permohonan daripada pelbagai pihak yang mahu anjurkan program contohnya pameran lukisan pasir dan saya fikirkan ia bukan sahaja datangkan manfaat kepada orang tempatan tetapi juga untuk negeri,” katanya.
Beliau berkata, oleh itu penyelesaian masalah di kawasan itu perlu diselesaikan bagi memastikan ia dapat dilangsungkan seperti yang dirancang.
“Tetapi ini perlu penyusunan semula di mana kita lihat kawasan ini ditepi pantai dan ada padang yang besar, sesuai dianjurkan pelbagai aktiviti.
“Kalau kita bawa masuk pelbagai program dan aktiviti serta walaupun nampak dapat merancakkan ekonomi setempat tetapi ia akan mendatangkan kesan lain contohnya kesesakan.
“Jadi untuk jangka masa panjang, kita perlukan satu pelan induk dan menyediakan tempat parkir yang cukup, penyusunan semula tapak peniaga dan mempunyai aliran trafik yang lancar,” katanya.
Ban Hong berkata, selain membangunkan kawasan pelancongan itu, pihaknya juga memfokuskan kepada keadaan ekonomi setempat yang memberi tumpuan kepada produk industri kecil sederhana (IKS).
“Maksudnya untuk produk-produk yang mempunyai potensi terutamanya IKS kita akan bantu mereka, kerana ada sesetengah yang perlukan peralatan dan ada yang perlu bimbingan teknik pemasaran, jadi kita akan bantu mereka berhubung dengan agensi yang berkaitan.
“Contohnya di Bukit Rambai, ada pengusaha kuih tart yang akan dibantu. Ini supaya apabila ekonomi setempat berkembang maka pendapatan dan taraf hidup bertambah baik.
“Saya fikir ini sejajar dengan usaha baik Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.
Ujarnya, walaupun fokus diberikan kepada pembangunan dan kemajuan sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, kebajikan rakyat tetap menjadi perhatian utama.
“Kebajikan rakyat kita utamakan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan mencari mereka yang memerlukan bantuan untuk dibantu malah aktiviti kebajikan berjalan seperti biasa termasuk agihan lampin pakai buang dan kit makanan kepada yang memerlukan.
“Pasukan kebajikan saya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kita sering kali lakukan pemantauan kepada sesiapa yang memerlukan bantuan.
“Juga sudah ditetapkan sejak Januari, setiap Jumaat minggu kedua setiap bulan adalah hari kebajikan DUN Klebang. Mereka yang mempunyai masalah boleh hadir ke Japerun dan kami akan bantu, sekiranya mereka adalah pesakit terlantar kami akan ke rumah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.