Pembangunan kawasan industri holistik, terancang dan tersusun

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 25 Jun -Lawatan ke Fuzhou High Tech Industrial Zone (FHTIZ) di Fuzhou, China mampu memperkemaskan lagi perancangan Kerajaan Negeri untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat perindustrian dunia.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Melaka amat berminat untuk melihat dan mempelajari kepakaran dimiliki pihak berkuasa wilayah itu dalam membina kawasan industri berteknologi tinggi secara terancang serta tersusun.

Ab Rauf yang kini mengetuai delegasi Kerajaan Negeri dalam rangka lawatan kerja ke China berkata, dalam tempoh lebih 20 tahun pembangunan bersepadu FHTIZ, kawasan industri seluas 190 kilometer persegi itu kini muncul sebagai zon ekonomi baharu.

“Lima komponen utama dalam FHTIZ adalah penggunaan teknologi kejuruteraan dan Kecerdasan Pembuatan (AI), inovasi, kepakaran tenaga kerja serta penggunaan tanah optimum, sekali gus telah memberi kesan pertumbuhan ekonomi terhadap penduduk tempatan.

“Kerajaan Negeri optimis hasil lawatan ini mampu merealisasikan pembinaan secara holistik Zon Industri Berteknologi Tinggi, MCORP High Tech Park dan kawasan tambak laut SM-WEZ (Straits of Melaka Waterfront Economic Zone).

“Segala usaha ini nanti mampu menjana peluang pekerjaan lebih baik dan ekosistem perbandaran dan industri yang tersusun,” kata Ketua Menteri menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau..

Lawatan itu turut disertai Pengerusi Eksekutif Leaptec Engineering Sdn Bhd (Leaptec), Tan Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San.

Leaptec juga merupakan anak syarikat kepada LBS Bina Group Berhad (LBS), antara pemain utama dalam pembinaan pembangunan di kawasan tambak laut.

Yang turut sama adalah wakil Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Negeri Melaka, Invest Melaka Berhad, SM-WEZ dan Perbadanan Melaka (MCORP).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

76
Kongsi :
Previous post Juruteknik mengaku tidak bersalah pukul isteri
Next post Teruja, pertama kali tunai umrah
Ubah saiz-+=