Sorting by

×

PEMBANGUNAN HARTANAH TARIK MINAT PELABUR KE MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KOTA LAKSAMANA 5 Disember – Kerajaan Negeri menyambut baik usaha dan komitmen Parkland Group dalam bidang pembangunan unit kediaman serta infrastruktur di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara yang akan dibangunkan oleh syarikat pemaju itu adalah Parkland Avenue By The Sea, membabitkan 1,204 unit pangsapuri servis dijangka siap pada awal 2027.

“Projek pembangunan integrasi ini akan merangkumi tiga komponen iaitu pertama menara pejabat bertaraf kelas A setinggi 15 tingkat, sementara itu komponen kedua pula membabitkan sebuah pusat beli-belah satu tingkat.

“Manakala komponen ketiga adalah pembinaan dua menara pangsapuri servis setinggi 50 dan 49 tingkat,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Parkland Avenue By The Sea dan Pemeteraian Perjanjian Bersama Village Grocer di Parkland Group, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Yang turut hadir Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin dan Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana, Low Chee Leong serta Pengarah Urusan Parkland Group, Datuk Victor Tan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri amat menyokong kelainan konsep pejabat berkelas A yang diketengahkan oleh Parkland.

“Projek yang diketengahkan ini menitikberatkan pematuhan garis panduan ‘Environmental Social and Governance (ESG)’ dan Pensijilan GreenRE iaitu satu pensijilan daripada Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) sebagai penanda aras penilaian bangunan hijau.

“Saya percaya Parkland Avenue By The Sea ini bakal menjadi nilai tambah untuk tumpuan dan dikunjungi oleh penumpang yang menaiki kapal persiaran mewah Genting Dream Cruise.

“Pembangunan ini juga dilihat sebagai langkah terbaik untuk membuka dan menarik perhatian lebih banyak peluang pelaburan terutama dari luar negara seterusnya menyokong hasrat Kerajaan Negeri memacu pertumbuhan ekonomi menerusi projek pembangunan berimpak tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

185
Kongsi :
Previous post HARI INOVASI MELAKA 2025 SASAR 500 PENYERTAAN
Next post PASAR RAYA MENGHADAP LAUT, BAKAL JADI TARIKAN BAHARU MELAKA
Ubah saiz-+=