Sorting by

×

Pembangkang perlu lebih realistik – Mohd Rafiq

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BUKIT KATIL 8 Jun – Pembangkang disaran bersikap realistik dengan mengetepikan kepentingan politik parti dan bersatu hati dalam membantu kerajaan menangani pandemik COVID-19.

Pandangan itu disuarakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohidden yang kesal pembangkang memilih untuk mempolitikkan isu semasa termasuk angka kematian COVID-19 bagi menafikan usaha menyeluruh kerajaan menangani pandemik, semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.

Katanya, dakwaan pembangkang bahawa kerajaan lambat bertindak dalam mengerakkan aset kerajaan untuk pemberian vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) juga adalah tidak berasas.

“Angka kematian pun dipolitikkan, nyawa manusia juga dipolitikkan untuk mendapat sokongan.

“Seolah-olah sekiranya mereka mentadbir bahawa tidak ada banyak kematian, mereka boleh pastikan bahawa tidak akan berlaku banyak kematian,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) Dewan Tun Ali, hari ini.

Menurutnya, pembangkang juga tidak boleh hanya lepas tangan dalam menangani penularan COVID-19 biarpun bidang kuasa kesihatan itu di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Saya tak fikir membangkang boleh lepas tangan dalam usaha menangani COVID-19 kerana setiap negeri ada EXCO kesihatan yang bertanggungjawab atas usaha-usaha kesihatan di negeri tersebut.

“Jadi saya fikir ini bukan masa untuk kita menuding jari, mempolitikkan siapa gagal dan siapa berjaya, siapa lebih baik dan parti mana lebih baik.

“(Itu) kita harus letak ke tepi…yang penting semua parti dan ahli politik bersatu hati kerana semua ada tanggungjawab masing-masing. Buatlah yang terbaik untuk kurangkan beban rakyat yang terkesan kerana COVID-19,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

506
Kongsi :
Previous post Warga emas 101 tahun antara korban COVID-19 di Melaka
Next post Lebih 60,000 Orang Asli tidak setuju terima vaksin- Abdul Rahman
Ubah saiz-+=