Sorting by

×

Pembangkang boleh bantu kerajaan tunai manifesto – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERI NEGERI 3 Mac – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, mengalu-alukan kerjasama daripada pihak pembangkang untuk membantu barisan kerajaan negeri merealisasikan manifesto.

Menurutnya, perkara itu dibuktikan menerusi pelantikan sebahagian ADUN daripada bukan kerajaan menganggotai Majlis Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 dan Jawatankuasa Mesyuarat Peringkat Daerah.

Katanya, kerjasama itu selaras dengan pegangan Islah iaitu mentransformasikan serta membina kesepakatan antara kedua-dua belah pihak.

“Saya minta kepada semua wakil-wakil rakyat, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri fahamkan surah Hud seperti yang saya maklumkan dalam dewan tadi iaitu Qulli Islah yang mana kita mesti buat sesuatu perkara dengan penuh tanggungjawab.

“Kita bukan macam dulu lagi. Kita kena ada muafakat dan kesepakatan antara kerajaan dan bukan kerajaan yang saya anggap sebagai rakan strategik.

“Samalah seperti menunaikan manifesto ini. Ia bukan tanggungjawab saya seorang tetapi mereka di pihak bukan kerajaan pun boleh membantu untuk kita sama-sama merealisasikannya. Apa salahnya, bukan? Saya dah menjadi kerajaan pun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Seri Negeri, Ayer Keroh.

Mengulas lanjut, ujarnya, persidangan selama empat hari bermula Isnin itu dilihat berjalan lancar dengan 16 soalan lisan berjaya dijawab.

Justeru, beliau mengucapkan ribuan terima kasih atas komitmen yang ditunjukkan oleh 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka selama tempoh bersidang.

“Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Wira Speaker dan Datuk Timbalan Speaker yang telah dapat menjalankan dewan pada kali ini dengan lebih cantik dan teratur,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

564
Kongsi :
Previous post Empat tonggak asas ‘Wahdatul’ kesatuan membentuk kerajaan makmur – KM
Next post Solat tarawih dibenar di masjid, surau pada Ramadan ini – Idris
Ubah saiz-+=