Pemandu lori didakwa cuba sebabkan kematian polis, pandu berbahaya
Muhamad Hasrulnizam Hasim, 21, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Dia didakwa cuba menyebabkan kematian Koperal Mohd Nur Hafisi Amarudin, 34, dengan cara menghimpit dan cuba melanggar motosikal yang dinaiki anggota polis itu semasa dia cuba melarikan diri daripada ditahan polis di KM5 Jalan Serting Tengah-Keratong, Jempol antara 12.30 tengah hari hingga 1.15 petang pada 9 April lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Dia turut didakwa atas pertuduhan memandu lori dalam keadaan melulu dan berbahaya iaitu sengaja menghimpit sehingga hampir melanggar kenderaan polis dan mendatangkan bahaya kepada orang awam di KM9 Jalan Bahau-Kemayan pada 12.25 tengah hari 9 April lepas.
Muhamad Hasrulnizam dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM15,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu minimum lima tahun, lesen memandu percubaan dibatalkan serta kesalahan akan ‘diendors’ (dimasukkan) pada lesen memandu.
Bagi pertuduhan ketiga tertuduh didakwa memandu kenderaan itu dengan tidak cermat terhadap pengguna jalan raya dan dengan cuai melanggar sebuah motosikal pada masa, tarikh dan lokasi sama (KM9 Jalan Bahau-Kemayan).
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 43 (1) APJ 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama memperuntukkan denda maksimum RM10,000 dan penjara tidak lebih 12 bulan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Farahidah Zool tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh bagi pertuduhan cuba menyebabkan kematian, bagaimanapun mencadangkan RM20,000 beserta syarat tambahan sekiranya mahkamah membenarkan jaminan.
Muhamad Hasrulnizam yang tidak diwakili peguam marayu wang jaminan minimum atas alasan berasal dari keluarga susah dan ibu bapa tidak bekerja.
Mahkamah membenarkan jaminan RM18,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali dan menetapkan 6 Mei ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.