Pemandu lori didakwa bunuh teman wanita warga Thailand
V. Nathan, 37, yang memakai Kameja-T gelap mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Nathan didakwa membunuh Mawika Lumyai, 32, di sebuah kondominium di Jalan Setia Dagang AH U13/AH Setia Alam, di sini pada 10.02 malam, 28 Feb lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 7 Jun untuk sebutan kes bagi laporan forensik, kimia dan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman manakala tertuduh diwakili peguam T.P. Aravind.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita warga Thailand maut dipercayai ditolak teman lelakinya dari tingkat 23 sebuah kondominium di Setia Alam yang menurut saksi, berlaku pergaduhan antara suspek dan mangsa sebelum wanita berkenaan ditolak dan terjatuh di tingkat tujuh kondominium berkenaan.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.