PEMANDU JKR MAUT DALAM PERJALANAN KE TEMPAT KERJA
ALOR GAJAH 6 Januari – Seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kemalangan di Jalan Solok Duku, Masjid Tanah di sini, pagi tadi.
Dalam kemalangan pada jam 8 pagi itu, Mohd Huzzaimy Ramli, 33 yang bekerja sebagai pemandu Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC maut di lokasi kejadian manakala SUV dipandu lelaki berusia 45 tahun cedera.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata siasatan awal mendapati SUV dalam perjalanan dari arah Sungai Udang menghala ke Masjid Tanah manakala mangsa dalam perjalanan menghala ke tempat kerjanya dari arah bertentangan.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian pemandu SUV itu dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum masuk ke laluan mangsa.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu SUV mengalami sesak nafas,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.
Katanya, siasatan lanjut di lokasi kejadian tidak menemukan kamera litar tertutup (CCTV) atau saksi bebas yang melihat kejadian itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.