Pemandu e-hailing didakwa cabul penumpang
AYER KEROH 27 JULAI – Seorang pemandu sambilan e- hailing didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan mencabul seorang wanita yang juga penumpangnya, dalam kejadian awal bulan ini.
Tertuduh, Mohd Fadzil Mahat, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 28 dengan tujuan hendak mencabul kehormatannya.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh didalam sebuah kereta, Jalan Tun Abdul Razak, kira- kira jam 7 malam, pada 1 Julai 2020.
Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana- mana dua jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari mencadangkan jumlah jaminan RM5, 000 diberikan kepada tertuduh dengan syarat tambahan dia tidak mengganggu mangsa.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan rendah dikenakan dengan alasan tidak bekerja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mempunyai tiga anak masih bersekolah.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa selain menetapkan 15 September depan untuk sebutan semula kes.